Tuesday, December 11, 2012

Struktur Membran Plasma


Menurut model mozek bendalir (fluid mosaic model) yang dikemukan oleh S.J. Singer dan G.L. Nicholson, membran plasma adalah terdiri daripada protein dan fosfolipid (phospholipid).

Molekul fosfolipid terdiri daripada:
  1. Bahagian kepala berkutub (polar head) yang bersifat hidrofilik (tertarik kepada air).
  2. Bahagian ekor tak berkutub (non polar tails) yang bersifat hidrofobik (tidak tertarik kepada air).


Struktur molekul fosfolipid dan dwilapisan fosfolipid.

Membran plasma terdiri daripada dua lapisan/dwilapisan fosfolipid (phospholipid bilayer). Bahagian kepala molekul fosfolipid di lapisan luar menghala ke arah bendalir di persekitaran luar, manakala bahagian kepala fosfolipid di lapisan dalam menghala ke arah sitoplasma.

Bahagian ekor setiap molekul fosfolipid yang membentuk dwilapisan adalah menghadap antara satu sama lain.

Dwilapisan fosfolipid membentuk satu penghalang atau membran antara bendalir interstis dengan bendalir dalam sel (bendalir intrasel).

Pelbagai jenis molekul protein tersebar di antara dwilapisan fosfolipid ini.

Molekul protein yang membentuk liang (pore) atau terusan dipanggil protein liang (pore protein) dan molekul protein yang berfungsi sebagai pembawa dipanggil protein pembawa (carrier protein).

Sesetengah protein dan lipid yang mempunyai rantai karbohidrat yang terikat pada permukaan luar masing-masing dikenali sebagai glikoprotein (glycoprotein) dan glikolipid (glycolipid).

Dwilapisan fosfolipid juga mengandungi kolestrol yang menghubungkan asid-asid lemak bersama.

Kolestrol (cholesterol) menstabilkan dan menguatkan membran plasma serta menjadikannya lebih fleksibel tetapi kurang telap terhadap bahan larut air seperti ion. Tanpa kolestrol, membran plasma akan bersifat terlalu bendalir pada suhu badan dan mungkin akan pecah dan terurai.

Struktur membran plasma.


Model mozek bendalir yang dikemukakan oleh S.J. Singer dan G.L. Nicholson merupakan model struktur membran plasma yang kini diterima oleh ahli sains.

Berdasarkan model mozek bendalir;
  • Fosfolipid, protein dan komponen membran yang lain bebas bergerak dan tidak statik. Ini menyebabkan membran bersifat bendalir yang dinamik dan fleksibel.
  • Protein berkeadaan terapung-apung dalam dwilapisan fosfolipid dan membentuk satu corak mozek yang sentiasa berubah-ubah.
  • Oleh itu, model yang dicadangkan oleh Singer dan rakannya dikenali sebagai model mozek bendalir.

No comments:

Post a Comment