Tuesday, May 19, 2015

Sifat Vitamin

Vitamin ialah kumpulan sebatian organik bukan protein yang diperlukan oleh organisma hidup dalam kuantiti yang sedikit.

Vitamin penting untuk pertumbuhan normal, pencegahan penyakit, pengawalan dan pemeliharaan kesihatan yang baik.

Selain metabolisme sel, vitamin juga terlibat dalam semua proses fisiologi sel. Fisiologi merujuk kepada semua proses yang berlaku dalam organisma hidup. Misalnya, vitamin K terlibat dalam proses pembekuan darah.

Vitamin tidak mempunyai nilai tenaga.

Vitamin digunakan dalam bentuk asalnya dan tidak dapat dicernakan kepada bentuk yang lebih ringkas.

Vitamin dikelaskan kepada dua kumpulan:
  1. Vitamin larut lemak, iaitu vitamin A, D, E dan K.

  2. Vitamin larut air, iaitu vitamin B1B2B3B5B6B12, C, H dan asid folik.
Vitamin tidak dapat disintesiskan (kecuali vitamin D dan K) oleh tubuh manusia. Oleh itu, kita harus memperoleh vitamin dalam bentuk asalnya daripada gizi.

Vitamin C mudah rosak pada suhu yang tinggi dan apabila terdedah kepada sinaran ultraungu. Misalnya, vitamin C dimusnahkan apabila makanan dimasak terlalu lama.

Vitamin B dan C (vitamin larut air) tidak boleh disimpan dalam badan.

Vitamin B dan C yang berlebihan akan dikumuhkan melalui air kencing. Oleh itu, kedua-dua vitamin ini perlu diambil secara berterusan melalui makanan harian.

Vitamin A, D, E dan K (vitamin larut lemak) tidak dikumuhkan melalui air kencing dan boleh disimpan dalam badan, misalnya dalam tisu adipos.

Kekurangan vitamin akan menyebabkan penyakit kekurangan zat.


Tuesday, May 12, 2015

Kesan-kesan Penyahhutanan dan Lain-lain

Penyahhutanan menyebabkan hakisan tanah, tanah runtuh dan banjir kilat

Apabila pokok-pokok hutan ditebang dan kawasan baharu diterokai untuk pertanian, permukaan tanah akan terdedah kepada hakisan oleh angin dan hujan.

Hakisan tanah berlaku apabila permukaan tanah terutamanya lapisan atas tanah yang dilitupi bahan organik dan butiran halus sentiasa ditiup angin dan dialirkan oleh air hujan.

Tanpa sistem akar untuk mencengkam tanah, struktur tanah menjadi tidak stabil. Apabila hujan turun dengan lebat untuk suatu jangka masa yang panjang, lapisan atas tanah terhakis dengan mudah dan ini menyebabkan tanah runtuh (landslide) terutamanya di lereng bukit.

Tanah yang terhakis dibawa oleh air hujan dan termendap di dasar sungai.

Enapan lumpur di sungai menyebabkan sungai menjadi semakin cetek. Apabila hujan lebat turun, air sungai melimpahi tebing menyebabkan banjir kilat terutamanya di kawasan lembah yang rendah.

Banjir kilat (flash flood) berlaku dengan cepat pada musim tengkujuh. Aras air sungai naik dan susut dengan cepat.

Banjir merosakkan harta benda dan juga tanah untuk pertanian. Banjir yang berterusan akan mengganggu usaha dan aktiviti pertanian.

Secara lazimnya, hakisan tanah dan banjir menghakis permukaan tanah dan menyebabkan larut resap serta mengurangkan kandungan nutrien (nutrient) dalam tanah apabila air banjir mengalirkan nutrien ke tempat lain.



Penyahhutanan menyebabkan kehilangan biokepelbagaian

Penyahhutanan (deforestation) memusnahkan pelbagai spesies flora dan fauna dalam hutan dan menyebabkan sebahagiannya hampir pupus. Keadaan ini mengurangkan biokepelbagaian (biodiversity).

Spesies tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan menghadapi ancaman kepupusan.

Habitat bagi kebanyakan spesies flora dan fauna turut termusnah, sertan rantaian makanan juga turut terganggu.


Peningkatan kandungan gas karbon dioksida

Penyahhutanan menyebabkan kurang gas karbon dioksida diserap oleh tumbuhan. Oleh itu, kandungan gas karbon dioksida dalam atmosfera akan meningkat.

Pada masa yang sama, kandungan oksigen di atmosfera berkurang kerana kurang oksigen dibebaskan oleh tumbuhan semasa fotosintesis (photosynthesis).

Kitar karbon dan kitar oksigen juga turut terganggu.

Pembakaran hutan menyebabkan pencemaran udara (air pollution) dengan membebaskan lebih banyak karbon dioksida ke atmosfera.

Pengumpulan gas karbon dioksida di atmosfera memerangkap haba dan ini menyumbang kepada kesan rumah hijau (greenhouse effect).


Kesan terhadap iklim

Hampir separuh daripada hujan yang turun di kawasan hutan hujan tropika berasal daripada proses transpirasi tumbuhan  di hutan itu sendiri.

Awan yang terbentuk daripada air yang tersejat melalui transpirasi membantu memantulkan sinaran matahari dan menyebabkan keadaan persekitaran menjadi kurang panas serta lembap.

Apabila penyahhutanan diteruskan, sumber air yang membentuk awan berkurang, menyebabkan kitar air terganggu. Keadaan ini menyebabkan keadaan cuaca menjadi panas dan kering.


Pembakaran bahan api fosil dan kesannya

Pembakaran bahan api fosil menyumbangkan kira-kira 75% karbon dioksida ke dalam atmosfera.

Peningkatan aras karbon dioksida dalam atmosfera menyumbang kepada kesan rumah hijau dan pemanasan global.


Pertanian intensif dan kesannya

Penggunaan tanah untuk pertanian intensif mengurangkan ruang dan sumber untuk spesies lain.

Dalam pertanian intensif, petani menggunakan baja tak organik yang mengandungi ion nitrat, fosfat dan kalium untuk meningkatkan hasil pertanian.

Ion nitrat dan ammonium adalah sangat larut dan akan melarut resap serta dialirkan ke dalam sungai dan tasik.

Keadaan ini membawa kepada eutrofikasi (eutrophication).


Kesan peningkatan bahan buangan domestik dan industri

Penambahan bilangan penduduk meningkatkan pembuangan bahan buangan domestik dan industri.

Pembuangan bahan buangan di tapak pelupusan sampah membahayakan organisma hidup kerana bahan toksik dan bahan pencemar mudah meresap ke dalam tanah dan mencemarkan sumber air yang berhampiran.

'Follow' to get notification of blog updates