Tuesday, April 17, 2012

Keperluan Pembentukan Gamet

Semua organisma menjalankan pembiakan (reproduction), pertumbuhan (growth) dan perkembangan (development) untuk menyambung zuriatnya.

Organisma membiak untuk mengekalkan spesies masing-masing.

Proses menambahkan zuriat atau individu baru dipanggil pembiakan (reproduction).

Pembiakan terbahagi kepada dua jenis:
  1. Pembiakan aseks (asexsual reproduction) yang melibatkan satu induk sahaja (tidak melibatkan gamet).
  2. Pembiakan seks (sexual reproduction) yang melibatkan dua induk dari spesies yang sama tetapi berlainan jantina. Kedua-dua induk menghasilkan gamet (gametes) untuk proses persenyawaan (fertilisation).
Pembiakan seks melibatkan pembentukan dan persenyawaan antara gamet jantan dengan gamet betina.

Dalam manusia, gamet jantan (sperma) dihasilkan oleh organ pembiakan jantan, iaitu testis, manakala gamet betina (ovum) dihasilkan oleh organ pembiakan betina, iaitu ovari (ovaries).

Kedua-dua gamet dihasilkan melalui proses meiosis. Gamet adalah haploid dan berbeza dari segi kandungan genetiknya.

Pembentukan gamet adalah penting dalam suatu kehidupan disebabkan atas faktor-faktor berikut:
  • Menambahkan zuriat melalui persenyawaan bagi mengekalkan keturunan sesuatu spesis.
  • Menghasilkan variasi genetik pada zuriat melalui proses pindah silang (process of crossing over) dan penggabungan semula kromosom homolog semasa meiosis.
  • Mengekalkan keadaan diploid dari generasi ke generasi melalui penghasilan zigot (zygote, 2n) daripada percantuman gamet jantan (n) dengan gamet betina (n).
  • Memastikan kemandirian (survival) hidupan organisma tersebut.


1 comment:

  1. Salam cikgu bole terangkan pd sy apa kaitan ujian darah dgn perwarisan ni? Ape alat yg digunakan

    ReplyDelete