Friday, January 13, 2012

Sistem Peredaran Darah Manusia

>>> Pakej Pembelajaran & Penilaian Online <<<
Sistem peredaran darah manusia dikenali sebagai sistem peredaran tertutup dan ganda dua (double closed and complete circulatory system).

Ini kerana darah mengalir dalam salur darah berterusan melalui jantung (heart) sebanyak dua kali dalam satu peredaran lengkap (complete circulatory).

Oleh itu, sistem peredaran ganda dua (double circulatory system) pada manusia terdiri daripada dua sistem peredaran yang utama:
  1. Sistem peredaran pulmonari (pulmonary circulation). 
    (jantung  peparu  jantung)
  2. Sistem peredaran sistemik (systemic circulation). 
    (jantung  semua tisu badan  jantung)

Sistem peredaran darah manusia.


Sistem peredaran pulmonari.
  • Darah terdeoksigen (deoxygenated blood) dipam keluar dari ventrikel kanan (right ventricle) ke dalam arteri pulmonari dan seterusnya ke peparu kiri dan kanan.
  • Di peparu (lungs), pertukaran gas berlaku. Darah terdeoksigen dalam arteri pulmonari menerima oksigen lalu menjadi darah beroksigen (oxygenated blood) yang kemudian diangkut dari peparu ke atrium kiri jantung melalui vena pulmonari (pulmonary vein).
    Ventrikel kanan  Arteri pulmonari  Peparu  Vena pulmonari  Atrium kiri
  • Fungsi utama sistem peredaran pulmonari adalah untuk membolehkan darah terdeoksigen menjadi darah beroksigen.

Sistem peredaran sistemik.
  • Darah beroksigen dari peparu, yang memasuki atrium kiri jantung, dipam ke dalam ventrikel kiri dan seterusnya dipam keluar dari jantung melalui aorta.
  • Darah yang dipam keluar dari jantung berada dalam tekanan tinggi.
  • Aorta bercabang untuk membentuk arteri, yang membawa darah beroksigen ke semua tisu badan.
  • Pertukaran gas dan nutrien (nutrient) berlaku di sel badan sesuatu organ.
  • Darah yang diangkut keluar dari organ melalui vena adalah darah terdeoksigen.
  • Darah dari vena di semua tisu badan akan disalurkan ke dalam vena kava (vena cava) dan dialirkan ke dalam atrium kanan jantung.
    Atrium kiri  Ventrikel kiri  Aorta  Tisu badan  Vena kava  Atrium kanan
  • Fungsi utama sistem peredaran sistemik adalah untuk membolehkan darah beroksigen dibawa dari jantung ke semua tisu badan.

No comments:

Post a Comment

'Follow' to get notification of blog updates

Google+ Followers