Sunday, April 19, 2015

Gizi Seimbang

Metabolisme ialah jumlah keseluruhan tindak balas biokimia yang berlaku dalam badan.

Gizi seimbang (balanced diet) merujuk kepada gizi yang mengandungi kesemua tujuh kelas makanan (karbohidrat, lipid, protein, vitamin, garam mineral, serat dan air) dalam kadar yang betul dan kuantiti yang seimbang mengikut keperluan seseorang supaya kesihatan yang optimum dapat dipelihara.

Gizi yang seimbang adalah penting kerana kekurangan atau kelebihan sesuatu kelas atau jenis makanan boleh menyebabkan pelbagai penyakit.

Gizi seseorang harus merangkumi lima jenis nutrien, iaitu:
  • Protein pada kadar yang mencukupi bagi membekalkan semua asid amino yang perlu untuk membina sel baharu dan membaiki tisu yang rosak.
  • Karbohidrat dan lipid yang mencukupi untuk membekalkan tenaga.
  • Vitamin dan garam mineral untuk memelihara kesihatan badan.
Disamping itu, air dan serat yang mencukupi juga diperlukan dalam gizi seimbang.

Lazimnya, gizi seseorang terdiri daripada 60% karbohidrat, 20% protein, 20% lipid serta vitamin, garam mineral, air dan serat dalam kadar dan kuantiti yang mencukupi.

Gizi seimbang dapat membekalkan dan memenuhi keperluan tenaga seseorang untuk menjalankan segala aktiviti harian dan proses fisiologi serta metabolisme badan.

Kadar penjanaan tenaga dalam badan berhubung rapat dengan kadar metabolisme seseorang.
  • Kadar metabolisme asas merupakan kadar penjanaan tenaga dalam keadaan rehat.
  • Tenaga tersebut diperlukan untuk menjalankan proses penting seperti pernafasan dan denyutan jantung. Nilai tenaga minimum yang diperlukan oleh tubuh manusia ialah 7500 kJ sehari.

Keperluan tenaga harian seseorang bergantung pada faktor-faktor berikut:
  • Umur − Kanak-kanak dan remaja yang sedang membesar memerlukan lebih banyak tenaga berbanding dengan orang dewasa. Kadar metabolisme asas adalah lebih tinggi pada peringkat pertumbuhan yang cepat.
  • Jantina − Lelaki dewasa memerlukan lebih banyak tenaga daripada perempuan dewasa. Kadar metabolisme asas lelaki juga lebih tinggi berbanding dengan perempuan.
  • Saiz atau berat badan − Orang yang saiz badannya kecil mempunyai jumlah luas permukaan per isipadu yang lebih besar berbanding dengan orang yang badannya bersaiz besar. Kadar kehilangan haba lebih cepat bagi orang yang bersaiz badan kecil. Oleh itu,  orang yang bersaiz badan kecil memerlukan lebih banyak tenaga per gram berat badan berbanding dengan orang yang bersaiz besar.
  • Perempuan hamil dan ibu yang menyusu − Perempuan hamil memerlukan lebih banyak tenaga untuk fetus yang sedang membesar. Ibu yang menyusu anaknya memerlukan lebih banyak tenaga untuk menghasilkan susu bagi anaknya.
  • Jenis pekerjaan − Seseorang yang melakukan pekerjaan yang lebih berat dan aktif memerlukan lebih banyak tenaga.
  • Iklim − Individu yang hidup di negara beriklim sejuk memerlukan lebih banyak tenaga untuk mengekalkan suhu badannya berbanding dengan individu yang hidup di kawasan yang beriklim tropika.


Wednesday, April 1, 2015

Komponen Biosis

Komponen biosis merangkumi semua organisma hidup termasuk haiwan, tumbuhan dan manusia.

Sumber utama tenaga untuk semua organisma berasal daripada cahaya matahari.

Komponen biosis terdiri daripada tiga kumpulan:
  1. Pengeluar ialah organisma autotrof yang mensintesis makanan daripada bahan bukan organik melalui fotosintesis. Misalnya, tumbuhan hijau dan sesetengah bakteria.

  2. Pengguna ialah organisma heterotrof yang tidak boleh membina makanannya sendiri dan perlu bergantung pada organisma (tumbuhan dan haiwan) lain atau jirim organik sebagai sumber tenaga. Pengguna terdiri daripada tiga peringkat iaitu:

    a) Pengguna primer ialah herbivor yang makan tumbuhan sebagai sumber tenaga utama.

    b) Pengguna sekunder ialah karnivor yang makan daging/pengguna primer sebagai sumber makanan utama.

    c) Pengguna tertier merupakan karnivor yang makan pengguna sekunder.

  3. Pengurai ialah mikroorganisma yang mengurai sebatian kompleks seperti protein dan karbohidrat dalam badan organisma mati atau reput dan bahan kumuh kepada bahan organik ringkas seperti karbon dioksida, ammonia dan sebagainya supaya dapat digunakan oleh organisma lain. Misalnya, kulat dan bakteria pengurai.


Komponen Abiosis

Nilai pH

Nilai pH mempengaruhi pertumbuhan dan taburan organisma yang hidup dalam tanah dan air.

Kebanyakan organisma hidup dalam keadaan pH neutral atau hampir neutral (pH 6−7).

Tumbuhan akuatik peka terhadap kesan pH air dan akan mati sekiranya pH air berubah.

Sesetengah tumbuhan tumbuh dengan baik dalam tanah berasid (pH < 7), cotohnya nanas, manakala sesetengah tumbuhan pula tumbuh dengan baik dalam tanah beralkali (pH > 7), contohnya pokok kelapa.


Suhu

Organisma mempunyai ciri penyesuaian tertentu untuk hidup dalam julat suhu yang berbeza. Organisma akan mati jika julat suhu jauh berbeza daripada julat suhu yang optimum untuk kehidupannya.

Ini adalah kerana semua tindak balas fisiologi dimangkinkan oleh enzim yang peka terhadap perubahan suhu. Suhu yang melebihi 45 °C biasanya menyebabkan enzim dalam organisma ternyahasli.

Organisma yang hidup di kawasan sejuk mempunyai bulu yang tebal untuk mencegah kehilangan haba daripada badan. Bagi tumbuhan seperti kaktus yang hidup di kawasan yang panas dan kering seperti gurun, daun pokok biasanya kecil dan diubah suai menjadi duri untuk mengurangkan kehilangan air.

Kesan peningkatan suhu diringkaskan seperti berikut:


Oleh itu, kawasan tropika mempunyai bilangan dan jenis organisma yang lebih banyak berbanding dengan kawasan sejuk.

Terdapat beberapa spesies organisma yang boleh hidup dalam persekitaran dengan suhu ekstrem, misalnya, bakteria termofilik yang boleh hidup di dalam mata air panas.


Keamatan Cahaya

Keamatan cahaya mempengaruhi taburan dan pertumbuhan tumbuhan serta taburan haiwan.

Cahaya matahari merupakan sumber tenaga untuk fotosintesis dalam tumbuhan.

Keamatan cahaya tinggi
Keamatan cahaya rendah
Keamatan cahaya amat rendah
  • Sesuai untuk tumbuhan hijau menjalankan proses fotosintesis.
  • Pokok tinggi di hutan membentuk kanopi.
  • Kebanyakan tumbuhan akuatik tumbuh berhampiran dengan permukaan air untuk mendapatkan cahaya matahari.

  • Sesuai untuk tumbuhan seperti lumut dan paku pakis yang hidup di atas lantai hutan dimana pancaran matahari dilindungi oleh kanopi pokok tinggi.
  • Burung dan kelawar hidup di bawah kanopi hutan.

  • Sesuai untuk semua organisma tanah seperti cacing tanah.
  • Bakteria dan kulat yang hidup di dalam tanah menguraikan bahan organik.



Kelembapan

Kelembapan merujuk kepada kandungan wap air dalam udara.

Kebanyakan organisma dijumpai di kawasan yang lembap, misalnya, lumut, katak dan cacing tanah lebih menggemari kawasan lembap.

Kelembapan atmosfera mempengaruhi kadar transpirasi dalam tumbuhan dan kadar penyejatan air daripada badan haiwan. Kelembapan udara yang rendah menyebabkan kadar transpirasi yang lebih tinggi.

Haiwan yang hidup di kawasan panas dan kering seperti unta mempunyai ciri penyesuaian untuk menyimpan air.

Kelembapan rendah atau persekitaran kering merencatkan tindak balas metabolisme fisiologi sel.


Topografi

Topografi merupakan ciri fizikal muka bumi yang berkait rapat dengan iklim.

Topografi menentukan kelembapan, suhu dan keamatan cahaya di sesuatu ekosistem dan dengan itu mempengaruhi taburan dan pertumbuhan organisma.

Tiga faktor topografi yang mempengaruhi taburan organisma ialah:
  1. Altitud – Semakin tinggi altitud, semakin rendah kelembapan relatif, tekanan atmosfera dan kandungan oksigen. Ini bermakna terdapat pelbagai jenis tumbuhan yang hidup di altitud yang berlainan.

  2. Kecerunan (kecuraman tanah) – mempengaruhi takungan air dan hakisan tanah. Lereng bukit yang lebih curam menghadapi lebih banyak masalah hakisan tanah dan aliran air deras berbanding dengan kawasan yang kurang curam. Tanah di kawasan curam biasanya lebih kering dan nipis. Keadaan ini tidak sesuai untuk kehidupan organisma.

  3. Aspek – merujuk kepada arah tiupan angin dan arah sinaran cahaya matahari

    a) Lereng gunung yang menghadap arah tiupan angin mendapat hujan yang lebih banyak berbanding dengan lereng gunung yang terlindung daripada tiupan angin. Oleh itu,, organisma yang hidup pada kedua-dua belah lereng gunung adalah berlainan. 

    b) Di hemisfera selatan, lereng gunung yang menghadap ke arah utara menerima lebih banyak cahaya matahari berbanding dengan lereng gunung yang menghadap ke arah selatan. Ini mempengaruhi jenis organisma yang hidup di kedua-dua kawasan tersebut.


Jenis tumbuhan pada altitud berlainan.


Iklim mikro

Merujuk kepada iklim setempat di sesuatu habitat yang kecil. Iklim mikro melibatkan hasil gabungan kesan beberapa faktor seperti kelembapan, suhu, tekanan atmosfera dan keamatan cahaya di habitat tersebut.

Sebagai contoh, iklim mikro di bawah sebuah pasu bunga atau batu besar.

Iklim mikro mempengaruhi bilangan dan taburan organisma.