Wednesday, April 1, 2015

Komponen Abiosis

Nilai pH

Nilai pH mempengaruhi pertumbuhan dan taburan organisma yang hidup dalam tanah dan air.

Kebanyakan organisma hidup dalam keadaan pH neutral atau hampir neutral (pH 6−7).

Tumbuhan akuatik peka terhadap kesan pH air dan akan mati sekiranya pH air berubah.

Sesetengah tumbuhan tumbuh dengan baik dalam tanah berasid (pH < 7), cotohnya nanas, manakala sesetengah tumbuhan pula tumbuh dengan baik dalam tanah beralkali (pH > 7), contohnya pokok kelapa.


Suhu

Organisma mempunyai ciri penyesuaian tertentu untuk hidup dalam julat suhu yang berbeza. Organisma akan mati jika julat suhu jauh berbeza daripada julat suhu yang optimum untuk kehidupannya.

Ini adalah kerana semua tindak balas fisiologi dimangkinkan oleh enzim yang peka terhadap perubahan suhu. Suhu yang melebihi 45 °C biasanya menyebabkan enzim dalam organisma ternyahasli.

Organisma yang hidup di kawasan sejuk mempunyai bulu yang tebal untuk mencegah kehilangan haba daripada badan. Bagi tumbuhan seperti kaktus yang hidup di kawasan yang panas dan kering seperti gurun, daun pokok biasanya kecil dan diubah suai menjadi duri untuk mengurangkan kehilangan air.

Kesan peningkatan suhu diringkaskan seperti berikut:


Oleh itu, kawasan tropika mempunyai bilangan dan jenis organisma yang lebih banyak berbanding dengan kawasan sejuk.

Terdapat beberapa spesies organisma yang boleh hidup dalam persekitaran dengan suhu ekstrem, misalnya, bakteria termofilik yang boleh hidup di dalam mata air panas.


Keamatan Cahaya

Keamatan cahaya mempengaruhi taburan dan pertumbuhan tumbuhan serta taburan haiwan.

Cahaya matahari merupakan sumber tenaga untuk fotosintesis dalam tumbuhan.

Keamatan cahaya tinggi
Keamatan cahaya rendah
Keamatan cahaya amat rendah
  • Sesuai untuk tumbuhan hijau menjalankan proses fotosintesis.
  • Pokok tinggi di hutan membentuk kanopi.
  • Kebanyakan tumbuhan akuatik tumbuh berhampiran dengan permukaan air untuk mendapatkan cahaya matahari.

  • Sesuai untuk tumbuhan seperti lumut dan paku pakis yang hidup di atas lantai hutan dimana pancaran matahari dilindungi oleh kanopi pokok tinggi.
  • Burung dan kelawar hidup di bawah kanopi hutan.

  • Sesuai untuk semua organisma tanah seperti cacing tanah.
  • Bakteria dan kulat yang hidup di dalam tanah menguraikan bahan organik.



Kelembapan

Kelembapan merujuk kepada kandungan wap air dalam udara.

Kebanyakan organisma dijumpai di kawasan yang lembap, misalnya, lumut, katak dan cacing tanah lebih menggemari kawasan lembap.

Kelembapan atmosfera mempengaruhi kadar transpirasi dalam tumbuhan dan kadar penyejatan air daripada badan haiwan. Kelembapan udara yang rendah menyebabkan kadar transpirasi yang lebih tinggi.

Haiwan yang hidup di kawasan panas dan kering seperti unta mempunyai ciri penyesuaian untuk menyimpan air.

Kelembapan rendah atau persekitaran kering merencatkan tindak balas metabolisme fisiologi sel.


Topografi

Topografi merupakan ciri fizikal muka bumi yang berkait rapat dengan iklim.

Topografi menentukan kelembapan, suhu dan keamatan cahaya di sesuatu ekosistem dan dengan itu mempengaruhi taburan dan pertumbuhan organisma.

Tiga faktor topografi yang mempengaruhi taburan organisma ialah:
  1. Altitud – Semakin tinggi altitud, semakin rendah kelembapan relatif, tekanan atmosfera dan kandungan oksigen. Ini bermakna terdapat pelbagai jenis tumbuhan yang hidup di altitud yang berlainan.

  2. Kecerunan (kecuraman tanah) – mempengaruhi takungan air dan hakisan tanah. Lereng bukit yang lebih curam menghadapi lebih banyak masalah hakisan tanah dan aliran air deras berbanding dengan kawasan yang kurang curam. Tanah di kawasan curam biasanya lebih kering dan nipis. Keadaan ini tidak sesuai untuk kehidupan organisma.

  3. Aspek – merujuk kepada arah tiupan angin dan arah sinaran cahaya matahari

    a) Lereng gunung yang menghadap arah tiupan angin mendapat hujan yang lebih banyak berbanding dengan lereng gunung yang terlindung daripada tiupan angin. Oleh itu,, organisma yang hidup pada kedua-dua belah lereng gunung adalah berlainan. 

    b) Di hemisfera selatan, lereng gunung yang menghadap ke arah utara menerima lebih banyak cahaya matahari berbanding dengan lereng gunung yang menghadap ke arah selatan. Ini mempengaruhi jenis organisma yang hidup di kedua-dua kawasan tersebut.


Jenis tumbuhan pada altitud berlainan.


Iklim mikro

Merujuk kepada iklim setempat di sesuatu habitat yang kecil. Iklim mikro melibatkan hasil gabungan kesan beberapa faktor seperti kelembapan, suhu, tekanan atmosfera dan keamatan cahaya di habitat tersebut.

Sebagai contoh, iklim mikro di bawah sebuah pasu bunga atau batu besar.

Iklim mikro mempengaruhi bilangan dan taburan organisma.

No comments:

Post a Comment