Sunday, April 19, 2015

Gizi Seimbang

Metabolisme ialah jumlah keseluruhan tindak balas biokimia yang berlaku dalam badan.

Gizi seimbang (balanced diet) merujuk kepada gizi yang mengandungi kesemua tujuh kelas makanan (karbohidrat, lipid, protein, vitamin, garam mineral, serat dan air) dalam kadar yang betul dan kuantiti yang seimbang mengikut keperluan seseorang supaya kesihatan yang optimum dapat dipelihara.

Gizi yang seimbang adalah penting kerana kekurangan atau kelebihan sesuatu kelas atau jenis makanan boleh menyebabkan pelbagai penyakit.

Gizi seseorang harus merangkumi lima jenis nutrien, iaitu:
  • Protein pada kadar yang mencukupi bagi membekalkan semua asid amino yang perlu untuk membina sel baharu dan membaiki tisu yang rosak.
  • Karbohidrat dan lipid yang mencukupi untuk membekalkan tenaga.
  • Vitamin dan garam mineral untuk memelihara kesihatan badan.
Disamping itu, air dan serat yang mencukupi juga diperlukan dalam gizi seimbang.

Lazimnya, gizi seseorang terdiri daripada 60% karbohidrat, 20% protein, 20% lipid serta vitamin, garam mineral, air dan serat dalam kadar dan kuantiti yang mencukupi.

Gizi seimbang dapat membekalkan dan memenuhi keperluan tenaga seseorang untuk menjalankan segala aktiviti harian dan proses fisiologi serta metabolisme badan.

Kadar penjanaan tenaga dalam badan berhubung rapat dengan kadar metabolisme seseorang.
  • Kadar metabolisme asas merupakan kadar penjanaan tenaga dalam keadaan rehat.
  • Tenaga tersebut diperlukan untuk menjalankan proses penting seperti pernafasan dan denyutan jantung. Nilai tenaga minimum yang diperlukan oleh tubuh manusia ialah 7500 kJ sehari.

Keperluan tenaga harian seseorang bergantung pada faktor-faktor berikut:
  • Umur − Kanak-kanak dan remaja yang sedang membesar memerlukan lebih banyak tenaga berbanding dengan orang dewasa. Kadar metabolisme asas adalah lebih tinggi pada peringkat pertumbuhan yang cepat.
  • Jantina − Lelaki dewasa memerlukan lebih banyak tenaga daripada perempuan dewasa. Kadar metabolisme asas lelaki juga lebih tinggi berbanding dengan perempuan.
  • Saiz atau berat badan − Orang yang saiz badannya kecil mempunyai jumlah luas permukaan per isipadu yang lebih besar berbanding dengan orang yang badannya bersaiz besar. Kadar kehilangan haba lebih cepat bagi orang yang bersaiz badan kecil. Oleh itu,  orang yang bersaiz badan kecil memerlukan lebih banyak tenaga per gram berat badan berbanding dengan orang yang bersaiz besar.
  • Perempuan hamil dan ibu yang menyusu − Perempuan hamil memerlukan lebih banyak tenaga untuk fetus yang sedang membesar. Ibu yang menyusu anaknya memerlukan lebih banyak tenaga untuk menghasilkan susu bagi anaknya.
  • Jenis pekerjaan − Seseorang yang melakukan pekerjaan yang lebih berat dan aktif memerlukan lebih banyak tenaga.
  • Iklim − Individu yang hidup di negara beriklim sejuk memerlukan lebih banyak tenaga untuk mengekalkan suhu badannya berbanding dengan individu yang hidup di kawasan yang beriklim tropika.


1 comment: