Wednesday, February 25, 2015

Jenis-jenis Rangsangan dan Gerak Balas

Terdapat dua jenis rangsangan, iaitu:
  1. Rangsangan luar (external stimuli)
  2. Rangsangan dalam (internal stimuli)

Rangsangan luar

Rangsangan luar merupakan perubahan yang berlaku di persekitaran luar dan boleh dikesan oleh sistem badan. Contohnya, cahaya, bunyi, bau, rasa, suhu, tekanan dan sentuhan.

Perubahan pada persekitaran luar dikesan oleh reseptor (receptors) dalam badan untuk menghasilkan gerak balas terhadapnya.

Gerak balas (response) ialah tindakan yang dilakukan oleh badan samada disedari ataupun tidak terhadap sesuatu rangsangan.

Gerak balas organisma hidup terhadap rangsangan luar membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Rangsangan tertentu hanya menghasilkan gerak balas yang tertentu sahaja. Jadual di bawah menunjukkan pelbagai jenis rangsangan luar dan gerak balas pada manusia dan organisma lain.

Rangsangan
Gerak balas pada manusia
Cahaya
Dikesan oleh mata supaya boleh melihat dan mengubah saiz anak mata.
Bunyi
Dikesan oleh telinga supaya boleh mendengar bunyi.
Rasa, bau
Bahan kimia larut boleh merangsang hidung dan lidah untuk membolehkan kita mengesan bau dan rasa.
Suhu, kesakitan, sentuhan, tekanan
Dikesan oleh kulit untuk membolehkan kita mengesan perubahan suhu, tekanan, sentuhan dan kesakitan serta bergerak balas terhadapnya.
Jenis rangsangan dan gerak balas pada manusia.

Tropisme ialah gerak balas dalam bentuk pertumbuhan pada bahagian tumbuhan tertentu seperti gerak balas hujung pucuk dan hujung akar ke arah atau menjauhi rangsangan.

Rangsangan
Gerak balas organisma lain
Cahaya
Fototropisme ialah gerak balas pertumbuhan hujung pucuk dan hujung akar terhadap cahaya.
Graviti
Geotropisme ialah gerak balas pertumbuhan hujung pucuk dan hujung akar terhadap graviti.
Air
Hidrotropisme ialah gerak balas pertumbuhan hujung pucuk dan hujung akar terhadap air.
Sentuhan
Tigmotropisme ialah gerak balas pertumbuhan sulur paut pada tumbuhan yang melilit pada objek lain untuk sokongan.

Gerak balas nasti ialah gerak balas sebahagian tumbuhan terhadap sesuatu rangsangan dengan arah gerak balas tidak dipengaruhi oleh arah rangsangan.

Rangsangan
Gerak balas organisma lain
Sentuhan
Seismonasti ialah gerak balas bahagian tumbuhan terhadap kejutan dan sentuhan.
Cahaya
Fotonasti ialah gerak balas bahagian tumbuhan terhadap perubahan cahaya.
Suhu
Termonasti merupakan gerak balas bahagian tumbuhan terhadap perubahan suhu.
Perubahan siang dan malam
Niktinasti merupakan gerak balas bahagian tumbuhan terhadap rangsangan cahaya dan suhu akibat perubahan siang dan malam, contohnya penutupan ranggi bunga pada waktu malam.

Taksis merupakan gerak balas seluruh organisma ke arah rangsangan atau menjauhi rangsangan.

Rangsangan
Gerak balas organisma lain
Cahaya
Fototaksis merupakan gerak balas ke arah atau menjauhi cahaya.
Bahan kimia
Kemotaksis ialah gerak balas suatu sel atau organisma terhadap bahan kimia.
Suhu
Termotaksis ialah gerak balas organisma terhadap haba atau kenaikan suhu.


Rangsangan dalam

Rangsangan dalam ialah perubahan yang berlaku dalam badan. Contohnya, aras gula dalam darah, suhu badan dan tekanan osmosis darah.

Rangsangan yang dihasilkan di dalam badan dikesan oleh reseptor dalam badan.

Gerak balas organisma terhadap rangsangan dari persekitaran dalam membolehkan proses homeotasis berlaku bagi mengekalkan keseimbangan persekitaran dalamannya.

Rangsangan dalam badan akan merangsang proses pengawalaturan persekitaran dalam secara homeotasis melalui suap balik negatif (negative feedback) supaya keadaan persekitaran dalam dikekalkan pada satu julat yang sesuai untuk organisma tersebut.

Jadual di bawah menunjukkan jenis rangsangan dalam dan gerak balas terhadapnya pada manusia.

Rangsangan
Gerak balas (Homeotasis)
Aras gula darah
Pengawalaturan aras gula darah oleh pankreas dan hati.
Suhu badan
Pengawalaturan suhu badan oleh kulit.
Tekanan osmosis darah
Pengawalaturan tekanan osmosis darah oleh ginjal (pengosmokawalaturan).
Perubahan rangsangan dalam dan homeotasis.



No comments:

Post a Comment