Thursday, October 11, 2012

Kitar Haid

Peringkat akil baligh (puberty) merupakan peringkat permulaan kematangan seseorang lelaki dan wanita. Pada masa tersebut, banyak perubahan berlaku dari segi fizikal, emosi dan fisiologi disamping perkembangan sistem pembiakan (reproductive system) mereka.

Bagi perempuan (female), haid merupakan tanda permulaan peringkat akil baligh.

Kedatangan haid (menstruation) dan pengovulan (ovulation) dalam kitar haid merupakan tanda kematangan dan kesuburan (maturity and fertility) wanita.

Perubahan kitar bulanan yang berlaku dalam badan perempuan beserta dengan pengovulan dan pendarahan (discharge of blood) dikenali sebagai kitar haid (menstrual cycle). Setiap kitar mengambil masa selama kira-kira 28 hari.

Haid (menstruation) adalah pendarahan yang disebabkan oleh penguraian tisu dinding endometrium pada uterus dan berlaku selama 4 hingga 5 hari dalam kitar haid.

Kitar haid menyebabkan perubahan struktur dan fisiologi pada sistem pembiakan perempuan bagi setiap 28 hari, iatu:
  • perubahan pada ovari yang berkaitan dengan perkembangan folikel dan pengovulan.
  • perubahan pada ketebalan dinding uterus (endometrium).
  • perubahan pada aras hormon yang terlibat dalam kitar haid.


Kepentingan Kitar Haid
  1. Menyediakan uterus untuk penempelan zigot (implantation of a zygote).
    Semasa kitar haid, dinding uterus menjadi semakin tebal dan kaya dengan bekalan salur darah. Keadaan ini membolehkan penempelan (implantation) telur yang tersenyawa (zigot / zygote) pada dinding uterus.

  2. Menyebabkan pengovulan.
    Folikel dalam ovari berkembang sehingga folikel Graaf yang matang terbentuk. Oosit sekunder dalam folikel Graaf dibebaskan daripada ovari kira-kira hari ke-14, iaitu pada pertengahan kitar haid. Oosit sekunder ini akan disenyawakan oleh sperma (jika hadir) di tiub Fallopio.

  3. Menyingkirkan haid.
    Oosit sekunder yang tidak disenyawakan akan merosot dang disingkirkan. Akibat kegagalan persenyawaan ovum, tisu lembut pada dinding uterus akan terurai beserta dengan pendarahan. Semua bahan buangan ini dikenali sebagai haid dan akan disingkirkan melalui faraj (vagina).

  4. Merangsangkan perembesan pelbagai jenis hormon.
    Empat jenis hormon terlibat dalam kitar haid iaitu hormon perangsang folikel (follicle stimulating hormones / FSH) dan hormon peluteinan (luteinising hormone / LH) yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari (pituitary) serta hormon estrogen dan progesteron (progesterone) yang dirembeskan oleh ovari.


Friday, October 5, 2012

Alel Dominan dan Alel Resesif

Alel (alleles) boleh wujud dalam bentuk dominan (dominant) dan resesif (recessive).

Alel dominan diwakili oleh huruf besar (capital letter) manakala alel resesif diwakili oleh huruf kecil (lower case letter).

Alel dominan akan menunjukkan trait dominan bagi ciri yang dikawal samada kedua-dua alel yang dominan atau hanya satu alel yang dominan hadir.

Sebagai contoh, ketinggian pokok kacang pea dikawal oleh sepasang alel iaitu alel dominan diwakili oleh T dan alel resesif diwakili oleh t. Trait dominan (tinggi) akan dipamerkan apabila kedua-dua alel dominan (TT) hadir atau salah satu alel dominan (Tt) sahaja.

Alel resesif hanya akan menunjukkan ciri yang dikawal apabila alel yang dominan tidak hadir.

Oleh itu, trait resesif hanya akan dipamerkan apabila kedua-dua alel adalah resesif.

Sebagai contoh, trait resesif untuk tumbuhan kerdil akan dipamerkan apabila kedua-dua alel adalah resesif (tt).

Thursday, October 4, 2012

Gen dan Alel

Gen (gene) merupakan unit asas pewarisan (basic unit of inheritance) yang membentuk ciri sesuatu organisma.

Gen terletak pada kromosom (chromosome). Setiap kromosom terdiri daripada beribu-ribu gen.

Kromosom terdiri daripada segmen DNA (asid deoksiribonukleik / deoxyribonucleic acid) pada sepanjang kedudukan tertentu (lokus / locus) di sepanjang kromosom. DNA mengkodkan sintesis protein berfungsi seperti enzim dan protein struktur yang menentukan sesuatu ciri.

Oleh itu, gen mengawal ciri-ciri yang diwarisi (inherited).

Gen yang mengawal ciri tertentu wujud secara berpasangan digelar alel (allele).

Alel adalah bentuk alternatif sesuatu gen yang terletak di lokus (kedudukan) yang setara pada kromosom homolog (homologous chromosomes).

Lokasi gen dan alel pada sepasang kromosom homolog.

Dalam sel diploid, setiap gen biasanya terdiri daripada dua alel. Satu daripada pasangan alel ini berasal dari ibu dan satu lagi berasal dari bapa.

Alel yang menentukan ciri (trait) tertentu akan diwarisi dan dimanifestasikan. Sebagai contoh, trait tinggi dan kerdil adalah untuk ciri ketinggian.

Setiap trait dikawal oleh sepasang alel.