Monday, December 24, 2012

Kepentingan Mitosis


Salah satu ciri kebanyakan sel-sel hidup adalah keupayaan mereka untuk sentiasa tumbuh, membahagi dan mati. Ini bermakna mereka dapat membahagi (divide) untuk menghasilkan sel-sel baru yang serupa dengan diri mereka sendiri (self-replicate). Sel yang mati perlu diganti dengan sel baharu.

Setiap sel hidup terbentuk daripada sel yang sedia ada melalui proses pembahagian sel (cell division).

Pembahagian sel melibatkan mitosis dan sitokinesis (cytokinesis).

Pembahagian sel terbahagi kepada dua peringkat:
  1. Pembahagian nukleus.
  2. Pembahagian sitoplasma atau sitokinesis.

Pembahagian nukleus berlaku melalui proses meiosis dan mitosis.

Meiosis ialah proses pembahagian untuk menghasilkan gamet yag terlibat dalam pembiakan seks.

Mitosis adalah proses pembahagian nukleus sel induk menjadi dua sel anak dengan setiap nukleus anak mengandungi bilangan kromosom dan kandungan genetik yang seiras dengan bilangan kromosom dan kandungan genetik nukleus sel induk.

Mitosis juga adalah proses yang membolehkan sel baharu dibentuk bagi menggantikan sel yang telah mati.

Sitokinesis adalah proses pembahagian sitoplasma menjadi dua.

Selepas proses mitosis dan sitokinesis, dua sel anak (two daughter cell) yang serupa dengan sel induk akan terbentuk.


Kepentingan mitosis

Mitosis menggantikan sel-sel mati. Contohnya, sel kulit dapat hidup selama dua miggu, selepas itu sel baharu dibentuk melalui mitosis.

Mitosis menggantikan dan memperbaiki sel-sel yang rosak. Contohnya, sel hati yang cedera mengalami penjanaan semula melalui proses mitosis bagi menggantikan bahagian yang rosak atau hilang.

Mitosis merupakan asas pembiakan aseks dalam organisma seperti Amoeba sp. Sel anak yang dihasilkan adalah seiras secara genetik dengan sel induk. Jenis pembahagian sel yang melibatkan pembentukan dua organisma baharu disebut belahan dedua (binary fission).

Sel menjalani pembahagian untuk menambahkan bilangan sel dalam badan sesuatu organisma dan seterusnya membolehkan petumbuhan (growth) berlaku dalam organisma multisel.
  • Organisma multisel seperti manusia bermula sebagai satu sel tunggal yang dipanggil zigot.
  • Zigot keudiannya membahagi untuk membentuk dua sel, kemudia empat sel, lapan sel dan seterusnya sehingga berjuta-juta sel dalam organisma multisel.
  • Semua sel yang terbentuk adalah dari segi genetik. Ini bermakna semua sel, sama ada sel hati, sel kulit atau sel otak, mempunyai kandungan genetik yang sama.

Mitosis menyebabkan pembentukan dua nukleus anak yang seiras dari segi genetik antara satu sama lain dan juga dengan nukleus sel induk. Setiap nukleus mengandungi bilangan kromososm dan kandugan genetik yang sama dengan sel induk.


Jenis sel yang menjalani mitosis

Pada tumbuh-tumbuhan
  • Mitosis berlaku secara aktif di tisu meristem apeks (apical meristem tissue) di hujung akar dan hujung pucuk.
  • Sel meristem juga terdapat di hujug mata tunas, kambium vaskular dan kambium gabus.
  • Pembahagian sel yang aktif dalam sel meristem membolehkan tumbuhan membesar dan memanjang dengan cepat.

Pada haiwan
  • Pertumbuhan berlaku di seluruh badan dan tidak terhad di kawasan tertentu seperti pada tumbuhan.
  • Kulit manusia mempunyai lapisan Malphigi yang menjalani mitosis untuk menghasilkan sel kulit baharu bagi menggantiakan sel yang cedera dan mati. Lapisan Malphigi juga menambahkan luas permukaan kulit semasa proses pertumbuhan.

No comments:

Post a Comment