Tuesday, March 6, 2012

Masalah Pembekuan Darah

Pembekuan darah (blood clotting) ialah mekanisme yang sangat penting kepada organisma hidup.

Masalah akan timbul apabila darah seseorang sukar membeku ataupun darah membeku di dalam salur darah, contohnya, hemofilia dan trombosis.

Hemofilia
Hemofilia (haemophilia) merupakan penyakit yang disebabkan oleh kekurangan salah satu faktor pembeku darah (defect of a blood clotting) yang dipanggil Faktor VIII.

Pesakit hemofilia mengalami masalah pembekuan darah. Darah pesakit tersebut tidak dapat membeku atau sukar membeku, lalu mengakibatkan pendarahan yang berpanjangan. Pesakit hemofilia akan kehilangan banyak darah walaupun mengalami luka yang kecil (minor injury).

Penyakit hemofilia tidak dapat diubati, tetapi rawatan melalui pemindahan darah atau suntikan Faktor VIII boleh diberikan.

Hemofilia ialah penyakit genetik terangkai seks yang boleh diwariskan (a sex-linked genetic hereditary disease). Penyakit ini lazimnya dihidapi oleh lelaki berbanding perempuan (perempuan ialah pembawa dan lelaki ialah pesakit).

Trombosis
Trombosis (thrombosis) disebabkan oleh pembentukan bekuan darah (blood clot) di dalam salur darah.

Terdapat dua jenis trombosis, iaitu:
  1. Trombosis vena.
    Trombosis vena berlaku apabila darah membuka di dalam vena.

  2. Trombosis arteri.
    Trombosis arteri berlaku apabila darah membeku di dalam arteri.
Bekuan darah biasanya terbentuk di dalam arteri utama yang mempunyai masalah atherosklerosis (atherosclerosis) dan jarang berlaku pada vena.

Gizi (diet) yang kaya dengan kolestrol dan lemak tepu menyebabkan atherosklerosis. Kolestrol dan lemak tepu yang berlebihan akan terenap (deposited) pada dinding arteri. Akibatnya, arteri menjadi semakin sempit dan menghalang kelancaran aliran darah.

Arteri yang menjadi sempit dan keras akibat pengenapan kalsium menyebabkan pengaliran darah semakin perlahan. Arteri ini juga hilang sifat kekenyalannya (elasticity) seterusnya mengalami arteriosklerosis (arteriosclerosis).

Pengenapan kolestrol pada salur darah merangsang penggumpalan platelet (agglutination of platelets) yang seterusnya menyebabkan pembentukan bekuan darah di dalam arteri.

Trombosis arteri menghalang pengaliran darah di dalam arteri seterusnya menyebabkan sel-sel badan tidak dapat menerima bekalan darah tersebut.

Trombosis koronari (coronary thrombosis) berlaku apabila darah membeku di dalam arteri koronari. Ini menghalang pengaliran darah ke otot kardium jantung. Angina (sakit dada) merupakan simptom awal bagi gejala ini. Akhirnya, otot kardium akan mati dan menyebabkan serangan jantung (heart attack) dan kemungkinan kematian.

Trombosis yang berlaku pada arteri yang membawa darah ke otak akan menyebabkan strok (stroke).

Embolus ialah bekuan darah kecil yang bergerak dalam salur darah. Embolus boleh dialirkan ke tempat tempat lain dan menyebabkan arteri yang lebi kecil tersumbat. Keadaan ini dipanggil embolisme (embolism).

No comments:

Post a Comment