Monday, January 9, 2012

Fungsi Darah Dalam Pengangkutan

>>> Pakej Pembelajaran & Penilaian Online <<<
Pengangkutan oksigen.
  • Darah mengangkut oksigen dalam bentuk oksihemoglobin.
  • Di alveolus, tekanan separa (partial pressure) oksigen adalah lebih tinggi berbanding dengan tekanan separa oksigen di dalam kapilari darah.
  • Oleh itu, oksigen meresap (diffuses) keluar daripada alveolus ke dalam kapilari darah di sekelilingnya melalui proses resapan ringkas (simple diffusion).

     
    Pengangkutan oksigen daripada alveolus ke sel badan dan pengangkutan
    karbon dioksida daripada sel badan ke alveolus.


  • Di dalam darah, oksigen (oxygen) bergabung dengan hemoglobin (haemoglobin) dalam eritrosit (erythrocyte) untuk membentuk oksihemoglobin (oxyhaemoglobin).
  • Oksigen diangkut (transported) dalam bentuk oksihemoglobin ke sel badan (body cells) yang kekurangan oksigen.
  • Di sel badan, oksihemoglobin terurai (breaks down) dan membebaskan oksigen kepada sel badan yang memerlukannya untuk respirasi sel (cell respiration).


Pengangkutan karbon dioksida.
  • Karbon dioksida (carbon dioxide) diangkut oleh darah dalam dua bentuk utama, iaitu:
    i) ion hidrogen karbonat (ion bikarbonat) dalam plasma darah.
    ii) karbaminohemoglobin dalam eritrosit.
  • Karbon dioksida diangkut dari sel badan ke peparu (lungs) untuk disingkirkan semasa penghembusan nafas (exhalation).
  • Akibat respirasi sel yang membebaskan karbon dioksida, tekanan separa (partial pressure) karbon dioksida di sel badan adalah lebih tinggi berbanding dengan tekanan separa karbon dioksida di dalam kapilari darah.
  • Oleh itu, karbon dioksida meresap keluar dari sel badan ke dalam kapilari darah (blood capillary).
  • Dalam kapilari darah, karbon dioksida melarut (dissolves) dalam plasma darah untuk membentuk ion hidrogen karbonat dan dibawa oleh plasma darah ke peparu.
  • Di peparu (lungs), enzim menukarkan ion hidrogen karbonat kepada karbon dioksida semula.
  • Karbon dioksida ini meresap keluar dari kapilari darah ke dalam alveolus untuk disingkirkan semasa hembusan nafas (exhalation).
  • Karbon dioksida juga boleh bergabung dengan hemoglobin dalam eritrosit untuk membentuk karbaminohemoglobin (carbaminohaemoglobin) dan diangkut dalam eritrosit ke peparu. Di alveolus, karbamonihemoglobin terurai dan membebaskan karbon dioksida yang akan meresap ke dalam alveolus untuk disingkirkan semasa hembusan nafas.

Pengangkutan bahan makanan tercerna, vitamin dan garam mineral.
  • Plasma darah mengangkut bahan makanan tercerna (digested food) seperti gula ringkas, asid amino, asid lemak, gliserol, vitamin dan garam mineral yang terlarut.
  • Bahan makanan yang tercerna seperti gula ringkas dan asid amino, garam mineral serta vitamin B dan C diserap ke dalam kapilari darah pada vilus ileum. Nutrien-nutrien ini diangkut dalam plasma dari ileum ke hati (liver) melalui vena portal hepar (hepatic portal vein) kemudian ke jantung (heart) dan seterusnya ke seluruh badan untuk digunakan atau disimpan.
  • Asid lemak, gliserol, vitamin A, D, E dan K meresap ke dalam lakteal (lacteal) di vilus dan diangkut keluar dari ileum ke dalam sistem limfa. Bahan-bahan ini kemudian dikembalikan ke dalam sistem peredaran darah melalui vena subklavikel kiri (left subclavian vein). Bahan makanan ini kemudian diangkut dalam plasma darah ke seluruh badan.

Pengangkutan bahan kumuh bernitrogen.
  • Bahan kumuh bernitrogen (nitrogenous waste) seperti urea, ialah hasil metabolisme protein.
  • Hasil penguraian asid amino berlebihan di dalam hati melalui proses pendeaminan (deamination), asid urik, kreatinin, bilirubin dan ion ammonium diangkut oleh plasma darah ke ginjal (kidneys) untuk dikumuhkan (excreted).

Pengangkutan hormon.
  • Hormon yang dirembeskan oleh kelenjar endokrin (endocrine glands) ke dalam darah akan diangkut oleh plasma darah ke organ sasaran (targeted organ).
  • Sebagai contoh, hormon insulin diangkut oleh plasma darah dari pankreas (pancreas) ke hati untik bertindak.

Pengangkutan haba.
  • Haba (heat) terhasil semasa respirasi sel yang giat berlaku di otot dan hati, dan juga semasa pengecutan otot (muscle contractions).
  • Haba diagihkan ke seluruh badan dengan sekata oleh sistem peredaran darah (circulatory system). Haba yang berlebihan diangkut oleh darah ke kulit (skin) dan peparu (lungs) untuk disingkirkan.
  • Dengan cara ini, suhu badan dapat dikekalkan pada 37°C.

Pengangkutan air.
  • Air ialah pelarut universal (universal solvent) dan merupakan medium untuk semua tindak balas kimia (chemical reaction) yang berlaku di dalam badan.
  • Darah (blood) mengangkut air ke seluruh badan untuk mengawal atur keseimbangan air (equilibrium of water) dan tekanan osmosis (osmotic pressure) di dalam badan.

1 comment:

'Follow' to get notification of blog updates

Google+ Followers