Saturday, December 17, 2011

Memulakan Penyiasatan Saintifik

Penyiasatan saintifik (scientific investigation) dimulakan dengan memerhatikan fenomena di sekeliling kita dan mengenal pasti masalah saintifik yang menarik minat kita.

Sebagai contoh, seseorang mendapati bahawa sesetengah orang menggunakan lidah buaya (aloe vera) untuk merawat luka kecil. Dia akan bertanya, 'adakah rawatan ini berkesan?'

Dia boleh mendapatkan jawapan dari orang-orang yang telah menggunakan kaedah rawatan ini, atau dia boleh mencari bahan bacaan mengenai kajian yang telah dilakukan ke atas masalah ini.

Jika jawapannya tidak muktamad, dia boleh menyiasat masalah tersebut dengan menjalankan kajian lanjut berdasarkan kaedah saintifik (scientific method), sama seperti mana seorang saintis akan lakukan.

Selain daripada pemerhatian yang teliti, saintis juga menggunakan hasil penyelidikan sebelumnya untuk mendapatkan idea tentang soalan-soalan yang berkaitan fenomena tertentu.

Sebagai contoh, jika seseorang telah melakukan satu kajian tentang kesan lidah buaya terhadap penyembuhan luka dan mendapati ianya berkesan, soalan seterusnya berkemungkinan 'bagaimana lidah buaya dapat mempercepatkan proses penyembuhan luka?'

Untuk menjalankan penyiasatan, seseorang mesti mempunyai maklumat serta latar belakang yang cukup tentang masalah tersebut. Sebagai contoh, untuk menyiasat jika lidah buaya berkesan dalam penyembuhan luka, penyiasat perlu mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai proses penyembuhan luka seperti faktor-faktor yang membuat luka cepat sembuh. Maklumat-maklumat yang berkaitan boleh didapatkan daripada buku, jurnal, internet atau dengan berkomunikasi dengan mereka yang pakar dalam bidang tersebut.

Selepas mendapat maklumat serta latar belakang yang mencukupi dalam masalah tersebut, seseorang itu mestilah menyatakan masalah dan matlamat kajian tersebut.

No comments:

Post a Comment