Wednesday, March 18, 2015

Kepentingan Sebatian Kimia Dalam Sel


Berikut diterangkan mengenai kepentingan sebatian kimia dalam sel.

Karbohidrat
  • Glukosa merupakan sumber tenaga utama dalam sel (setiap gram glukosa boleh menghasilkan kira-kira 17 kJ tenaga apabila dioksidakan semasa proses respirasi).
  • Kanji merupakan bahan simpanan utama dalam sel tumbuhan.
  • Glikogen merupakan bahan simpanan utama dalam manusia dan haiwan.
  • Karbohidrat seperti selulosa membentuk dinding sel tumbuhan dan merupakan sumber utama serat diet.

Lipid
  • Merangkumi lemak, minyak, lilin, fosfolipid dan steroid.
  • Lemak atau minyak merupakan sumber tenaga (setiap gram lemak boleh menghasilkan kira-kira 38 kJ tenaga, iaitu dua kali ganda tenaga yang dihasilkan melalui pengoksidaan glukosa).
  • Lapisan tisu adipos bertindak sebagai penebat haba untuk melindungi organisma daripada keadaan suhu sekitar yang rendah.
  • Memberi perlindungan fizikal kepada organ utama dalam badan dengan melapisi organ tersebut.
  • Sebagai pelarut vitamin larut lemak A, D, E dan K.
  • Fosfolipid ialah komponen utama yang membina membran plasma yang mengawal pengangkutan bahan atau molekul merentas membran plasma.
  • Lilin pada kutikel daun dan batang tumbuhan mencegah kehilangan air dan serangan patogen.
  • Steroid ialah lipid yang mempunyai struktur molekul yang kompleks. Contoh steroid termasuk kolestrol, hormon seperti testosteron, estrogen dan progesteron.

Protein
  • Protein terdiri daripada unit asas yang disebut asid amino.
  • Berfungsi membina sel semasa pertumbuhan dan membaiki tisu yang rosak.
  • Juga diperlukan dalam sintesis enzim, antibodi dan sesetengah hormon.
  • Merupakan komponen struktur binaan seperti keratin pada kulit, kolagen pada tulang dan miosin pada tisu otot.
  • Merupakan komponen membran plasma dan berfungsi memberi sokongan serta memainkan peranan mengawal pergerakan bahan masuk dan keluar dari sel.
  • Membentuk hemoglobin yang penting dalam pengangkutan oksigen.

Asid nukleik
  • Asid nukleik ialah makromolekul kompleks yang menyimpan maklumat genetik dalam bentuk kod.
  • Unit asas bagi asid nukleik ialah nukleotida.
  • Setiap nukleotida terdiri daripada gula pentosa (lima karbon), kumpulan fosfat dan bes bernitrogen.
  • Terdapat dua jenis asid nukleik iaitu, asid deoksiribonukleik (DNA) dan asid ribonukleik (RNA).
  • DNA terdiri daripada dua bebenang polinukleotida  yang berpilin bersama untuk membentuk struktur heliks ganda dua.
  • Kebanyakan DNA dalam sel dijumpai dalam nukleus. DNA juga terdapat dalam kloroplas dan mitokondrion.
  • DNA membawa maklumat genetik mengenai sesuatu organisma dan diturunkan daripada induk ke anak.
  • Maklumat RNA terdiri daripada bebenang tunggal.
  • Kebanyakan RNA hadir dalam sitoplasma, ribosom dan nukleus. RNA berperanan menyalin maklumat pada DNA untuk mensintesis protein.
  • RNA juga merupakan bahan genetik bagi sesetengah virus.

Struktur heliks ganda dua molekul DNA. 
Huruf A, T, G dan C mewakili 
empat bes bernitrogen.


Struktur satu nukleotida.


Air
Komponen utama hidupan. Lebih kurang 75% - 95% daripada jumlah jisim sel terdiri daripada air.

No comments:

Post a Comment