Tuesday, May 22, 2012

Pembentukan Bendalir Tisu dan Bendalir Limfa

Semasa darah mengalir dari arteriol ke kapilari darah, tekanan hidrostatik yang tinggi akan dikenakan pada kapilari tersebut.

Tekanan tinggi ini terhasil akibat daya pengepaman jantung dan rintangan di dalam kapilari darah.

Tekanan hidrostatik yang tinggi pada kapilari darah menyebabkan sebahagian plasma meresap keluar melalui dinding, yang setebal satu sel, ke dalam ruang antara sel.

Pembentukan bendalir tisu dan limfa.

Molekul-molekul bahan terlarut yang bersaiz kecil dalam plasma darah seperti air, garam mineral, glukosa dan asid amino meresap keluar dari dinding kapilari darah ke dalam ruang antara sel.
Resapan bahan-bahan melalui kapilari darah dan pertukaran nutrien,
bahan kumuh dan gas di antara bendalir tisu dengan sel badan.

Cecair yang berada di dalam ruang antara sel dikenali sebagai bendalir tisu (tissue fluid) atau bendalir ruang antara (interstitial fluid).

Eritrosit, platelet dan molekul protein plasma yang besar tidak dapat merentasi dinding kapilari darah. Namun, leukosit seperti sel fagosit dapat menyelit keluar melalui liang seni (fine pores) pada dinding kapilari darah.

Bendalir tisu dikembalikan kepada sistem peredaran darah (circulatory system) melalui dua cara:
  1. Kira-kira 90% bendalir tisu meresap semula ke dalam kapilari darah kerana tekanan yang rendah di hujung venul berbanding tekanan di hujung arteriol.
  2. Kira-kira 10% lagi bendalir tisu akan meresap ke dalam kapilari limfa pada sistem limfa (lymphatic system). Bendalir tisu disebut bendalir limfa (lymph) sebaik sahaja bendalir ini memasuki sistem limfa. Akhirnya, bendalir limfa akan dikembalikan ke sistem peredaran darah melalui vena subklavikel (subclavian veins) pada bahu.

Bendalir tisu merupakan medium bagi pertukaran nutrien, hasil perkumuhan dan gas respirasi antara sel-sel badan dengan kapilari darah. Bendalir tisu juga merupakan persekitaran dalam yang optimum bagi organisma.

Oleh itu, sel fagosit di dalam bendalir tisu berperanan menghapuskan mikroorganisma yang hadir di dalam bendalir tisu.


Komposisi bendalir tisu dan bendalir limfa.

Sebahagian besar daripada bahan-bahan yang berada di dalam bendalir tisu berasal dari plasma darah.

Kandungan bendalir tisu menyerupai plasma darah kecuali bendalir tisu tidak mempunyai eritrosit, platelet dan molekul protein plasma yang terlalu besar untuk merentasi dinding kapilari darah.

Leukosit terutamanya sel fagosit, yang boleh merentasi dinding kapilari darah, hadir dalam bendalir tisu.

Bendalir limfa berasal dari bendalir tisu yang berasal dari plasma darah yang telah ditapis oleh dinding kapilari darah.

Oleh itu, komposisi bendalir limfa menyerupai plasma darah, yang tidak mempunyai eritrosit, platelet dan protein plasma.

Bendalir limfa adalah lut sinar (transparent) atau berwarna kuning pucat (slightly yellowish) dan hanya terdapat di dalam salur limfa tertutup (closed lymphatic vessels).

Bendalir limfa mengandungi banyak leukosit (leucocytes) terutamanya limfosit (lymphocytes) yang dihasilkan oleh nodus limfa (lymph nodes).

1 comment:

  1. Sangat berguna untuk saya lebih memahami bab ni...syukran cikgu..terima kasih

    ReplyDelete