Sunday, February 5, 2012

Pengedaran Darah Dalam Manusia

Pengaliran darah dalam sistem peredaran darah manusia disebabkan oleh daya pengepaman jantung (pumping of the heart) dan pengecutan otot rangka (contraction of skeletal muscles) di sekeliling vena.


Kitar kardium (cardiac cycle)

Peredaran darah manusia disebabkan oleh pengepaman jantung.

Otot kardium mengecut dan menghasilkan denyutan jantung (heartbeat) yang mengepam darah ke seluruh badan.

Setiap denyutan jantung dimulakan oleh perentak (pacemaker) yang dipanggil nodus sinoatrium (sinoatrial node). 

Nodus sinoatrium adalah sekumpulan tisu otot kardium yang menghasilkan impuls saraf (nerve impulses).

Impuls ini merebak ke kedua-dua atrium dan menyebabkan pengecutan atrium secara serentak. Tekanan darah dalam atrium meningkat lalu mengepam darah ke dalam ventrikel masing-masing.

Impuls saraf ini sampai ke nodus atrioventikel (atrioventricular node) selepas 0.1 saat. Masa 0.1 saat ini adalah untuk memastikan semua darah telah dimasukkan ke dalam ventrikel. Kemudian, impuls saraf ini dihantar ke ventrikel untuk menyebabkan kedua-dua ventrikel mengecut secara serentak.

Semasa pengecutan ventrikel, gentian Purkinje membawa impuls yang menyebabkan otot kardium pada ventrikel mengecut.

Pengecutan ventrikel yang kuat (sistol) menyebabkan tekanan darah dalam kedua-dua ventrikel meningkat, yang mengakibatkan darah terdeoksigen dipam ke peparu melalui arteri pulmonari dan darah beroksigen dipam ke seluruh anggota badan melalui aorta.

Pengenduran atrium dan ventrikel (diastol) menyebabkan tekanan darah dalam jantung menurun, yang mengakibatkan darah mengalir masuk ke dalam atrium kanan melalui vena kava dan atrium kiri melalui vena pulmonari. Seterusnya, darah akan mengalir masuk ke dalam ventrikel masing-masing.

Rajah dibawah menunjukkan tindakan nodus sinoatrium dan nodus atrioventrikel untuk menghasilkan daya pengepaman darah keluar dari jantung ke seluruh badan.


Nodus SA (perentak) menghasilkan isyarat untuk mengecut.


Isyarat merebak ke kedua-dua atrium dan menyebabkan atrium mengecut.
Isyarat ke nodus AV ditunda selama 0.1 saat untuk memastikan
semua darah di atrium telah dipam ke dalam ventrikel.



Isyarat dihantar ke gentian Purkinje yang membawanya ke ventrikel
dan menyebabkan kedua-dua ventrikel mengecut.


Pengecutan otot rangka disekeliling vena.

Dalam vena, tekanan darah adalah sangat rendah dan tidak cukup untuk mengalirkan darah kembali ke jantung.

Otot rangka biasanya terletak disekeliling vena. Pengecutan dan pengenduran (the contracrion and relaxation) otot rangka membantu menggerakkan darah menentang graviti, ke bahagian atas, untuk kembali ke jantung.

Pengaliran darah dalam vena akibat pengecutan otot rangka.

Disepanjang vena, terdapat injap sabit (semi-lunar valves) yang memastikan darah tidak mengalir balik dan hanya mengalir dalam satu hala, iaitu ke arah jantung.

Semakin kerap dan kuat pengecutan otot rangka, semakin cepat darah mengalir balik ke jantung.

No comments:

Post a Comment