Tuesday, February 7, 2012

Kawal Atur Tekanan Darah

Tekanan darah dikawal oleh baroreseptor (reseptor tekanan) yang terletak pada aorta dan arteri karotid (carotid arteries).

Baroreseptor (baroreceptor) dapat mengesan perubahan tekanan darah dan menyelaraskan tekanan darah arteri dengan mengubah daya dan kadar pengecutan otot kardium serta mengubah rintangan dalam arteri.

Baroreseptor bergerak balas terhadap perubahan regangan (panjang tisu) pada dinding lengkungan aorta dan karotid sinus.


Pengawal-aturan tekanan darah yang semakin meningkat.

Apabila tekanan darah semakin meningkat, baroreseptor akan bergerak balas terhadap peningkatan regangan pada dinding lengkungan aorta dan karotid sinus dengan menghantar lebih banyak impuls saraf kepada medula oblongata di otak.

Otak akan menghantar isyarat ini ke jantung dan salur darah (efector). Aktiviti otot kardium pada jantung dikurangkan untuk mengurangkan kadar denyutan jantung. Otot licin pada arteri pula mengendur untuk menambahkan diameter arteri, dan mengakibatkan rintangan arteri dikurangkan.

Penurunan kadar denyutan jantung serta rintangan arteri menyebabkan tekanan darah diturunkan.


Pengawal-aturan tekanan darah yang semakin menurun.

Apabila tekanan darah semakin menurun, baroreseptor direncat (inhibited).

Oleh itu, tiada impuls saraf dihantar oleh baroreseptor ke otak.

Otot kardium pada jantung meningkatkan aktivitinya lalu meningkatkan kadar denyutan jantung. Sementara itu, otot licin pada arteri pula mengecut menyebabkan diameter arteri menjadi semakin sempit. Pencerutan vena (vasoconstriction) ini meningkatkan rintangan arteri.

Peningkatan kadar denyutan jantung dan rintangan arteri menyebabkan tekanan darah meningkat.

No comments:

Post a Comment