Friday, July 27, 2012

Pembentukan Ovum / Oogenesis

Oogenesis adalah proses pembentukan ovum dalam ovari.
Proses pembentukan ovum (oogenesis) di dalam ovari.

Pembentukan ovum bermula di dalam ovari fetus (ovary of a foetus).

Dinding ovari terdiri daripada lapisan epitelium germa layer of germinal epithelium). Lapisan ini mengandungi sel-sel germa primordium (primordial germ cells).

Proses oogenesis
  1. Pada peringkat fetus, sel germa primordium membahagi beberapa kali secara mitosis untuk membentuk oogonium yang diploid (2n).
  2. Setiap oogonium mengalami pertumbuhan dan perkembangan untuk menjadi oosit primer (2n).
  3. Setiap oosit primer diselaputi oleh satu lapisan sel folikel (follicle cells) untuk membentuk satu folikel primer (primary follicle).
  4. Apabila dilahirkan, bayi perempuan (baby girl) telah mempunyai berjuta-juta oosit primer di dalam ovarinya.
  5. Selepas kelahiran, oosit primer membahagi secara Meiosis I tetapi berhenti pada peringkat profasa I sehingga akil baligh (puberty).
  6. Semasa seorang perempuan mencapai akil baligh, oosit primer melengkapkan Meiosis I. Hasilnya ialah dua sel haploid yang berbeza saiz disebabkan oleh pembahagian sitoplasma (cytoplasm) yang tidak sekata. Sel yang lebih besar dikenali sebagai oosit sekunder (n), dan sel yang lebih kecil dinamakan jasad kutub, n (polar body).
  7. Oosit sekunder yang dikelilingi oleh sel folikel dikenali sebagai folikel sekunder (secondary follicle).
  8. Folikel sekunder membesar dan matang membentuk folikel Graaf (Graafian follicle). Kemudian folikel Graaf bergerak ke permukaan dinding ovari.
  9. Semasa pengovulan (ovulation), folikel Graaf pecah dan melepaskan oosit sekunder dari ovari ke dalam tiub Fallopio (Fallopian tube).
  10. Sebaik sahaja persenyawaan berlaku, oosit sekunder melengkapkan Meiosis II dan menghasilkan satu jasad kutub (n) dan satu ovum (n).


    Peringkat pembentukan ovum.
  11. Jasad kutub haploid yang dihasilkan semasa Meiosis I juga menjalani Meiosis II dan menghasilkan dua lagi jasad kutub.
  12. Ketiga-tiga jasad kutub ini akhirnya merosot (degenerate).

Proses pembentukan ovum semasa oogenesis diringkaskan seperti rajah di bawah.


Skema pembentukan ovum.

Tuesday, July 10, 2012

Pembentukan Sperma (Spermatogenesis)

Spermatogenesis adalah proses pembentukan sperma di dalam testis.

Setiap testis mempunyai banyak tubul seminiferus (seminiferous tubules).

Spermatogenesis berlaku pada dinding tubul seminiferus.

Setiap tubul seminiferus diselaputi oleh lapisan epitelium germa (layer of germinal epithelium) yang terdiri daripada sel-sel germa primordium (primordial germ cells).
Keratan rentas tubul seminiferus.

Proses spermatogenesis
  1. Sel germa primordium membahagi beberapa kali secara mitosis untuk menghasilkan spermatogonium (2n).
  2. Setiap spermatogonium (spermatogonia) membesar menjadi spermatosit primer (2n).
  3. Setiap spermatosit primer (primary spermatocyte) kemudian membahagi secara meiosis untuk menghasilkan dua spermatosit sekunder (n) pada peringkat Meiosis I.
  4. Setiap spermatosit sekunder (secondary spermatocytes) melalui Meoisis II dan membentuk dua spermatid (n).
  5. Setiap spermatid menjalani pembezaan (differentiates) untuk menghasilkan sperma (sperm).
  6. Oleh itu, setiap spermatogonium akan membentuk empat sperma pada peringkat akhir proses ini.



    Peringkat pembentukan sperma.

Semasa pembentukan gamet (formation of sperms), sel-sel tersebut akan mengalami perkembangan yang progresif dan bergerak ke arah lumen tubul seminiferus. Akhirnya, sperma yang terbentuk dibebaskan ke dalam lumen untuk disalurkan keluar dari testis melalui vas deferens.