Tuesday, April 12, 2016

Keimunan dan Pengimunan

Keimunan (immunity) adalah keupayaan badan untuk menentang jangkitan patogen dengan menghasilkan antibodi tertentu.

Seseorang yang mempunyai keimunan terhadap sejenis penyakit tidak akan menghidapi penyakit itu. Contohnya, individu yang pernah dijangkiti demam campak (measles) kemungkinan besar tidak akan dijangkiti lagi.

Ini adalah kerana individu tersebut dikatakan telah imun (immuned) terhadap penyakit tersebut.

Pengimunan (immunisation) ialah proses memperolehi keimunan secara buatan terhadap sesuatu penyakit. Ini adalah bagi membantu seseorang untuk menentang terhadap penyakit itu.

Pengimunan dijalankan melalui suntikan, iaitu suntikan vaksin (injection of vaccine) atau suntikan serum (injection of serum) yang mengandungi antibodi bagi memperolehi keimunan tersebut.

Vaksin (vaccine) ialah ampaian bakteria (suspension of bacteria) atau virus (patogen) yang mati atau dilemahkan. Vaksin disuntik ke dalam badan untuk merangsang limfosit (lymphocytes) untuk menghasilkan antibodi tertentu bagi melawan patogen (antigen).

Suntikan serum yang mengandungi antibodi secara langsung ke dalam badan membolehkan patogen atau antigen dimusnahkan dengan serta merta.

Terdapat dua jenis keimunan:
  • Keimunan aktif (active immunity).
  • Keimunan pasif (passive immunity).
Keimunan aktif diperolehi apabila badan melawan patogen atau antigen dengan menghasilkan antibodi sendiri. Antibodi dihasilkan daripada gerak balas limfosit terhadap antigen.

Keimunan pasif melibatkan penerimaan antibodi daripada sumber lain yang tersedia ada dan bukan dihasilkan oleh badan.

Keimunan aktif dan pasif boleh diperolehi secara semula jadi atau secara buatan.

Jadual di bawah menunjukkan ringkasan tentang jenis keimunan.


1 comment: