Wednesday, January 13, 2016

Disakarida

Disakarida (disaccharide) juga dikenali sebagai gula kompleks.

Contoh disakarida ialah:
  • Maltosa (maltose).
  • Sukrosa (sucrose).
  • Laktosa (lactose).

Apabila dua molekul gula ringkas (monosakarida) bercantum melalui kondensasi (yang melibatkan penyingkiran satu molekul air), satu unit disakarida terbentuk. Misalnya, maltosa terbentuk daripada kondensasi molekul glukosa (glucose).

Kondensasi (condensation) ialah tindak balas yang melibatkan penyingkiran satu molekul air apabila satu ikatan terbentuk antara dua molekul monosakarida (monosaccharide).

Disakarida boleh diuraikan kepada monosakarida yang membentuknya melalui hidrolisis.

Hidrolisis (hydrolysis) ialah tindak balas yang melibatkan penambahan satu molekul air semasa pemecahan satu molekul besar (maksud: hidro = air, lisis = pecah).


Seperti monosakarida, semua disakarida juga berasa manis, berupaya menghablur dan larut dalam air.

Maltosa ialah gula malt, sukrosa ialah gula tebu dan laktosa ialah gula susu.
  • Maltosa hadir dalam bijirin yang sedang bercambah. Maltosa juga terhasil semasa pencernaan separa kanji dan merupakan substrat yang digunakan dalam pembuatan bir.
  • Sukrosa terdapat pada batang tebu, buah-buahan dan akar simpanan seperti bit gula. Sukrosa digunakan sebagai pemanis dalam minuman dan hidangan makanan. Tumbuhan biasanya mengangkut karbohidrat dari daun ke akar dalam bentuk sukrosa.
  • Laktosa hadir dalam susu semua mamalia, termasuk susu manusia.

Maltosa dan laktosa ialah gula penurun (reducing sugar) manakala sukrosa pula ialah gula bukan penurun (non-reducing sugar).

Apabila sukrosa dipanaskan dengan larutan Benedict atau larutan Fehling, mendakan merah bata tidak terbentuk.

Sukrosa perlu diuraikan kepada unit fruktosa dan glukosa yang membentuknya dengan mendidihkan sukrosa dalam asid cair (hidrolisis). Kemudian, apabila hasil hidrolisis diuji dengan larutan Benedict, mendakan merah bata akan terbentuk.

6 comments:

  1. Cikgu, boleh saya tanya ? Knpe sukrosa bukan gula penurun? Ada sbb2 dia x??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sukrosa bukan gula penurun kerana sukrosa tidak menurunkan larutan kuprum (ΙΙ) sulfat.

      Delete
  2. Apakah fungsi sukrosa dalam tumbuhan

    ReplyDelete
  3. Sukrosa berfungsi sebagai sumber energi dan karbon yang digunakan sebagai penyusun sel, pembelahan sel, pembesaran sel dan diferensiasi sel, sehingga dapat membentuk tunas tanaman dengan baik

    ReplyDelete
  4. Hi teacher what is the common formulae for Disakarida

    ReplyDelete
  5. Tc, untuk sukrosa tu, bila didihkan latutan sukrosa dgn asid cair, dia tak perlu tambah natrium hidrogen karbonat ke utk neutralkn dia?

    ReplyDelete