Thursday, March 19, 2015

Kepentingan Air Dalam Sel

Air (water) merupakan sebatian tak organik (inorganic compound) yang paling penting dalam organisma hidup kerana sifat-sifat kimia dan fizikalnya membolehkannya menyokong kehidupan.

Badan kita terdiri daripada kira-kira 70% air. Protoplasma sel mengandungi kira-kira 90% air.

Air merupakan komponen penting plasma darah, limfa dan bendalir interstis.

Air ialah molekul berkutub. Molekul berkutub mempunyai taburan cas yang tidak sekata, iaitu setiap molekul mempunyai satu hujung positif dan satu hujung negatif. Molekul berkutub menarik antara satu sama lain dan juga ion yang berlainan cas.

Disebabkan sifat ini, air merupakan pelarut semesta yang dapat melarutkan banyak sebatian ion seperti garam mineral dan molekul berkutub lain seperti gula.

Satu molekul air terdiri daripada dua atom hidrogen dan
satu atom oksigen.


Berikut adalah antara kepentingan air dalam sel:

Sokongan
Memberi sokongan kepada struktur sel kerana 90% jumlah jisim protoplasma terdiri daripada air.

Menyediakan permukaan lembap
Untuk proses resapan semasa pertukaran gas respirasi antara alveolus dengan kapilari darah.

Medium tindak balas
Tindak balas biokimia yang dimangkin oleh enzim memerlukan air. Misalnya, tindak balas hidrolisis lipid kepada asid lemak dan gliserol.

Daya lekitan
Air mempunyai daya lekitan yang tinggi untuk membantu molekul air melekat antara satu sama lain dalam satu turus yang panjang dan tidak terputus melalui tisu vaskular.

Pelinciran
  • Air merupakan juzuk utama mukus dan bendalir sinovia.
  • Mukus memudahkan pergerakan makanan tercerna dalam salur pencernaan.
  • Bendalir sinovia melicinkan pergerakan di sendi.

Mengekalkan keseimbangan osmosis
  • Kuantiti air dan garam mineral terlarut menentukan tekanan osmosis darah dan bendalir interstis.
  • Sap sel dalam vakuol sel tumbuhan mengandungi air dan bahan terlarut yang lain. Tekanan osmosis dalam sel tumbuhan membantu sel menjadi segah.

Mengawal suhu badan
  • Darah yang sebahagian besar terdiri daripada air membantu menyebarkan haba dengan sekata ke seluruh badan.
  • Haba berlebihan kemudian disingkirkan daripada badan melalui perpeluhan dan pembuangan air kencing serta penyahtinjaan.
  • Penyejatan air daripada tumbuhan melalui transpirasi menyejukkan tumbuhan.

Medium pengangkutan
  • Lebih daripada 90% plasma darah terdiri daripada air.
  • Molekul biologi seperti glukosa, asid amino dan gas respirasi (oksigen, karbon dioksida) diangkut dalam bentuk terlarut oleh plasma darah.
  • Nutrien dan gas oksigen dapat diangkut ke sel yang memerlukannya.

Pelarut
  • Pelarut semesta kehidupan yang baik kerana sifat molekul air berkutub.
  • Kebanyakan bahan kimia terlarut dalam air, misalnya hasil perkumuhan seperti urea dan ammonia yang disingkir daripada badan melalui air kencing dan air peluh.

3 comments:

  1. nota sangat lengkap. ringkas dan padat. sesuai untuk student nak study last minute. thanks a lot. happy fasting! 😂

    ReplyDelete
  2. I like this note..thanks for help me to present infront the class

    ReplyDelete
  3. Wow so good ...perfect thank you

    ReplyDelete