Monday, April 23, 2012

Konsep Pewarisan Berdasarkan Eksperimen Mendel

Semua organisma boleh menurunkan ciri-cirinya kepada zuriat masing-masing.

Pemindahan ciri-ciri induk kepada anaknya dari satu generasi ke satu generasi yang lain dikenali sebagai pewarisan (inheritance).

Kajian tentang pewarisan secara saintifik dipanggil sebagai genetik (genetic).

Sesuatu ciri (characteristics) adalah sifat tersendiri bagi sesuatu organisma. Ciri ini boleh diwarisi dari satu generasi ke satu generasi berikutnya. Contohnya, ketinggian dan warna kulit.

Sesuatu trait pula adalah varian bagi ciri tertentu.

Setiap ciri yang diwarisi terdiri daripada trait tertentu. Misalnya, ketinggian adalah suatu ciri manakala tinggi atau rendah adalah traitnya.

Jadual di bawah menunjukkan ciri dan trait pokok kacang pea yang dikaji oleh Gregor Mendel.

Ciri dan trait pokok kacang pea.

Beliau adalah ahli sains yang pertama menyarankan teori bahawa ciri yang terdapat pada induk (parent) diturunkan kepada zuriat melalui gamet jantan dan gamet betina (male and female gametes).

Ini menunjukkan bahawa nukleus (nucleus) gamet jantan dan gamet betina membawa maklumat genetik pewarisan ciri tersebut.

Faktor pewarisan (hereditary factor) yang menentukan sesuatu ciri (characteristics) itu dipanggil gen (gene).

Tuesday, April 17, 2012

Keperluan Pembentukan Gamet

Semua organisma menjalankan pembiakan (reproduction), pertumbuhan (growth) dan perkembangan (development) untuk menyambung zuriatnya.

Organisma membiak untuk mengekalkan spesies masing-masing.

Proses menambahkan zuriat atau individu baru dipanggil pembiakan (reproduction).

Pembiakan terbahagi kepada dua jenis:
  1. Pembiakan aseks (asexsual reproduction) yang melibatkan satu induk sahaja (tidak melibatkan gamet).
  2. Pembiakan seks (sexual reproduction) yang melibatkan dua induk dari spesies yang sama tetapi berlainan jantina. Kedua-dua induk menghasilkan gamet (gametes) untuk proses persenyawaan (fertilisation).
Pembiakan seks melibatkan pembentukan dan persenyawaan antara gamet jantan dengan gamet betina.

Dalam manusia, gamet jantan (sperma) dihasilkan oleh organ pembiakan jantan, iaitu testis, manakala gamet betina (ovum) dihasilkan oleh organ pembiakan betina, iaitu ovari (ovaries).

Kedua-dua gamet dihasilkan melalui proses meiosis. Gamet adalah haploid dan berbeza dari segi kandungan genetiknya.

Pembentukan gamet adalah penting dalam suatu kehidupan disebabkan atas faktor-faktor berikut:
  • Menambahkan zuriat melalui persenyawaan bagi mengekalkan keturunan sesuatu spesis.
  • Menghasilkan variasi genetik pada zuriat melalui proses pindah silang (process of crossing over) dan penggabungan semula kromosom homolog semasa meiosis.
  • Mengekalkan keadaan diploid dari generasi ke generasi melalui penghasilan zigot (zygote, 2n) daripada percantuman gamet jantan (n) dengan gamet betina (n).
  • Memastikan kemandirian (survival) hidupan organisma tersebut.


Monday, April 16, 2012

Gerak Balas dan Koordinasi

Kebolehan untuk bergerak balas terhadap sesuatu rangsangan merupakan satu keistimewaan bagi semua benda hidup.

Manusia boleh mengesan perubahan yang berlaku di dalam atau di luar badan dan seterusnya bergerak balas terhadapnya.

Semua aktiviti gerak balas badan dikoordinasikan oleh sistem koordinasi badan (coordination system in the body).

Organisma hidup bergerak balas (respond) terhadap perubahan dalam persekitaran dalam (internal environment) dan persekitaran luar (external environment).

Perubahan yang berlaku di persekitaran luar atau dalam badan yang dapat dikesan oleh sistem badan dipanggil rangsangan (stimulus, plural: stimuli).

Tujuan utama organisma hidup (living organism) bergerak balas (respond) terhadap sesuatu rangsangan adalah untuk memastikan kemandirian (survival) organisma tersebut.

Keperluan haiwan (animal) bergerak balas terhadap rangsangan adalah seperti berikut:
  1. Menyesuaikan diri dengan persekitaran.
  2. Mendapat perlindungan daripada kecederaan.
  3. Menjaga keselamatan (bergerak ke tempat yang lebih selamat).
  4. Mengawal atur (to regulate) persekitaran dalam melalui homeotasis.

Keperluan tumbuhan (plant) bergerak balas terhadap rangsangan adalah seperti berikut:
  1. Menerima lebih banyak cahaya matahari (sunlight) untuk fotosintesis (photosynthesis).
  2. Mendapat sokongan yang lebih baik (obtain a better support).
  3. Mendapat bekalan air yang mencukupi (obtain enough water).

Monday, April 2, 2012

Keperluan Pergerakan dan Sokongan

Pergerakan dan sokongan (support and locomotion) pada manusia dan haiwan adalah penting untuk kemandirian (survival) masing-masing.

Pergerakan dan sokongan diperlukan oleh manusia dan haiwan untuk peranan berikut:
  • mencari makanan.
  • perlindungan dengan cara melarikan diri daripada musuh atau mengelakkan diri daripada kecederaan.
  • mencari persekitaran yang sesuai untuk kehidupan.
  • mencari pasangan untuk tujuan pembiakan.
  • membolehkan haiwan berpindah ke tempat lain untuk mengelakkan kesesakan di suatu tempat.

Sistem rangka (skeletal system) adalah penting untuk sokongan dan pergerakan kerana ianya:
  • menyediakan permukaan untuk pelekatan otot.
  • membentuk sendi dan membolehkan pergerakan.
  • menyokong berat badan.

Sokongan yang baik diperlukan untuk pergerakan organisma kerana ia memberikan keseimbangan dan kekukuhan (equilibrium and stability) badan.