Tuesday, March 6, 2012

Masalah Pembekuan Darah

Pembekuan darah (blood clotting) ialah mekanisme yang sangat penting kepada organisma hidup.

Masalah akan timbul apabila darah seseorang sukar membeku ataupun darah membeku di dalam salur darah, contohnya, hemofilia dan trombosis.

Hemofilia
Hemofilia (haemophilia) merupakan penyakit yang disebabkan oleh kekurangan salah satu faktor pembeku darah (defect of a blood clotting) yang dipanggil Faktor VIII.

Pesakit hemofilia mengalami masalah pembekuan darah. Darah pesakit tersebut tidak dapat membeku atau sukar membeku, lalu mengakibatkan pendarahan yang berpanjangan. Pesakit hemofilia akan kehilangan banyak darah walaupun mengalami luka yang kecil (minor injury).

Penyakit hemofilia tidak dapat diubati, tetapi rawatan melalui pemindahan darah atau suntikan Faktor VIII boleh diberikan.

Hemofilia ialah penyakit genetik terangkai seks yang boleh diwariskan (a sex-linked genetic hereditary disease). Penyakit ini lazimnya dihidapi oleh lelaki berbanding perempuan (perempuan ialah pembawa dan lelaki ialah pesakit).

Trombosis
Trombosis (thrombosis) disebabkan oleh pembentukan bekuan darah (blood clot) di dalam salur darah.

Terdapat dua jenis trombosis, iaitu:
  1. Trombosis vena.
    Trombosis vena berlaku apabila darah membuka di dalam vena.

  2. Trombosis arteri.
    Trombosis arteri berlaku apabila darah membeku di dalam arteri.
Bekuan darah biasanya terbentuk di dalam arteri utama yang mempunyai masalah atherosklerosis (atherosclerosis) dan jarang berlaku pada vena.

Gizi (diet) yang kaya dengan kolestrol dan lemak tepu menyebabkan atherosklerosis. Kolestrol dan lemak tepu yang berlebihan akan terenap (deposited) pada dinding arteri. Akibatnya, arteri menjadi semakin sempit dan menghalang kelancaran aliran darah.

Arteri yang menjadi sempit dan keras akibat pengenapan kalsium menyebabkan pengaliran darah semakin perlahan. Arteri ini juga hilang sifat kekenyalannya (elasticity) seterusnya mengalami arteriosklerosis (arteriosclerosis).

Pengenapan kolestrol pada salur darah merangsang penggumpalan platelet (agglutination of platelets) yang seterusnya menyebabkan pembentukan bekuan darah di dalam arteri.

Trombosis arteri menghalang pengaliran darah di dalam arteri seterusnya menyebabkan sel-sel badan tidak dapat menerima bekalan darah tersebut.

Trombosis koronari (coronary thrombosis) berlaku apabila darah membeku di dalam arteri koronari. Ini menghalang pengaliran darah ke otot kardium jantung. Angina (sakit dada) merupakan simptom awal bagi gejala ini. Akhirnya, otot kardium akan mati dan menyebabkan serangan jantung (heart attack) dan kemungkinan kematian.

Trombosis yang berlaku pada arteri yang membawa darah ke otak akan menyebabkan strok (stroke).

Embolus ialah bekuan darah kecil yang bergerak dalam salur darah. Embolus boleh dialirkan ke tempat tempat lain dan menyebabkan arteri yang lebi kecil tersumbat. Keadaan ini dipanggil embolisme (embolism).

Monday, March 5, 2012

Peranan Sistem Peredaran Darah Dalam Mekanisme Pertahanan Badan

Selain bertindak sebagai pengangkutan, sistem peredaran darah juga terlibat dalam mekanisme pertahanan badan (body's defence mechanism).

Manusia sentiasa terdedah kepada pelbagai mikroorganisma yang menyebabkan penyakit (disease-causing). Mikroorganisma ini dipanggil patogen (pathogens).

Oleh itu, satu mekanisme pertahanan badan diperlukan bagi:
  1. mencegah kemasukan patogen ke dalam badan.
  2. melawan patogen yang telah masuk ke dalam badan.

Badan mempertahankan diri daripada serangan patogen secara tidak spesifik dan juga secara spesifik.

Mekanisme pertahanan tidak spesifik melibatkan kulit, membran mukus (mucus membrane), rembesan asid dan enzim, serta proses fagositosis (phagocytosis) oleh leukosit.

Mekanisme pertahanan spesifik dikenali sebagai keimunan (immunity) dan melibatkan limfosit yang dihasilkan oleh antibodi (antibodies).

Oleh itu, sel-sel darah dan sistem limfa memainkan peranan penting dalam fagositosis dan keimunan.

Thursday, March 1, 2012

Mekanisme Pembekuan Darah

Mekanisme pembekuan darah (mechanism of blood clotting) melibatkan satu siri tindak balas kimia yang dimulakan oleh platelet dan berakhir dengan pembentukan bekuan darah (blood clot).


Apabila salur darah terluka atau pecah, platelet akan terkumpul dan melekat pada dinding salur darah yang terluka.

Gumpalan platelet ini membebaskan enzim trombokinase.

Enzim trombokinase akan menukarkan protrombin yang tidak aktif kepada trombin yang aktif dengan kehadiran ion kalsium.


Protrombin terbentuk di hati (liver) yang mana pembentukannya memerlukan vitamin K.

Trombin yang aktif akan memangkinkan (catalyse) penukaran protein larut fibrinogen kepada protein tak larut fibrin.


Fibrin membentuk satu jaringan di permukaan luka untuk memerangkap sel darah dan membentuk bekuan darah untuk menutupi luka tersebut.

Apabila darah membeku, sejenis bendalir kuning jernih (yellowish fluid) akan mengalir keluar dari luka. Bendalir ini ialah serum, iaitu plasma darah tanpa fibrinogen.

Akhirnya, pendarahan akan berhenti. Bekuan darah menjadi kering dan membentuk keruping (scab). Luka akan sembuh di bawah keruping tersebut.

Keperluan Pembekuan Darah

Pendarahan (bleeding) berlaku apabila salur darah terluka.

Salur darah yang terluka ini akan memulakan mekanisme pembekuan darah (blood clotting mechanism).

Keperluan pembekuan darah (blood clotting) adalah seperti berikut:
  1. Mencegah pendarahan yang serius.
    Penbekuan darah memastikan luka ditutup untuk menghentikan pendarahan dan mengurangkan kehilangan darah.

  2. Mencegah kemasukan mikroorganisma dan bendasing (foreign particle) ke dalam badan.
    Pembentukan bekuan darah pada tapak luka (wound site) merupakan suatu mekanisme pertahanan yang penting untuk mencegah kemasukan mikroorganisma dan bendasing ke dalam badan. Ini penting untuk mengurangkan risiko jangkitan.

  3. Mengekalkan tekanan darah (blood pressure).
    Apabila pendarahan berlaku, tekanan darah menurun. Ini mengurangkan kadar pengaliran darah dan melambatkan pengankutan nutrien dan oksigen ke sel-sel badan. Oleh itu, pembekuan darah penting untuk mengelakkan kehilangan darah dan mengekalkan tekanan darah yang stabil supaya pengankutan bahan keperluan sel berlaku dengan cekap.

  4. Mengekalkan pengaliran darah dalam sistem yang tertutup.
    Apabila salur darah yang terluka ditutup oleh mekanisme pembekuan darah, peredaran darah dapat dikekalkan dalam salur darah. Oleh itu, darah dapat mengalir di dalam sistem peredaran yang tertutup secara berterusan.