Monday, December 17, 2012

Unsur Kimia Dalam Sel


Setiap benda hidup dan bukan hidup terdiri daripada unsur. 

Unsur (element) adalah bahan yang terdiri daripada atu jenis atom yang tidak boleh diuraikan kepada bahan yang lebih ringkas oleh tindak balas kimia.

Sel (cell) adalah merupakan unit asas kehidupan. Oleh itu, ia mengandungi bahan kimia dalam protoplasmanya (protoplasm). 

Sel terdiri daripada pelbagai unsur yang hadir dalam kuantiti yang berbeza.

Hanya terdapat kira-kira 25 unsur utama yang penting untuk organisma hidup. Unsur-unsur ini boleh dikelaskan kepada tiga kategori mengikut keperluan relatifnya dalam sel.
  1. Unsur utama yang membentuk 96% jumlah jisim tubuh manusia
    Unsur-unsurnya adalah hidrogen (H), karbon (C), oksigen (O) dan nitrogen (N).

  2. Unsur lain yang membentuk 4% jumlah jisim tubuh manusia
    Unsur-unsurnya adalah natrium (Na), kalium (K), magnesium (Mg), kalsium (Ca), fosforus (P), sulfur (S) dan klorin (Cl).

  3. Unsur surih yang membentuk kurang daripada 0.01% jumlah jisim tubuh manusia
    Unsur-unsurnya adalah zink (Zn), ferum (Fe), kuprum (Cu), mangan (Mn), kobalt (Co) dan iodin (I). 

Walaupun unsur surih (trace element) diperlukan dalam kuantiti yang amat kecil, namun begitu unsur-unsur ini amat penting kepada sel.

Unsur karbon, hidrogen dan oksigen terdapat dengan banyak dalam sel kerana sel mengandungi peratus air yang tinggi dan kebanyakan sebatian dalam sel terdiri daripada karbon, hidrogen dan oksigen.

Sebatian (compounds) yang terdapat dalam organisma hidup boleh dibahagikan kepada dua, iaitu:
  1. Sebatian organik (organic compounds).
    Sebatian yang mengandungi unsur karbon dan berasal daripada organisma hidup. Contoh sebatian organik dalam sel adalah seperti karbohidrat, protein, lipid dan asid nukleik. Sebatian organik disintesis oleh sel sendiri.

  2. Sebatian tak organik (inorganic compounds).
    Sebatian yang tidak mengandungi unsur karbon. Contoh sebatian tak organik yang terdapat dalam sel ialah air, asid, bes dan garam mineral. Sebatian ini tidak disintesis oleh sel sendiri tetapi diperolehi dari persekitaran luar.

Unsur-unsur yang terdapat dalam sebatian kimia:
  • Karbohidrat
    Unsur-unsurnya adalah karbon, hidrogen dan oksigen.

  • Protein
    Unsur-unsurnya adalah karbon, hidrogen, oksigen, nitrogen, sulfur dan fosforus.

  • Lipid
    Unsur-unsurnya adalah karbon, hidrogen dan oksigen.

  • Asid nukleik
    Unsur-unsurnya adalah karbon, hidrogen, oksigen, fosforus dan nitrogen.

  • Air
    Unsur-unsurnya adalah hidrogen dan oksigen.


Fungsi unsur-unsur dalam sel haiwan dan sel tumbuhan adalah seperti berikut:


Unsur
Fungsi
Sel haiwan
Sel tumbuhan
Hidrogen, karbon, oksigen, nitrogen
Sintesis sebatian organik seperti karbohidrat, protein, lipid dan asid nukleik.
Sintesis sebatian organik seperti karbohidrat, protein, lipid dan asid nukleik.
Sulfur
Komponen bagi sesetengah protein.
Komponen bagi sesetengah protein.
Natrium
  • Mengekalkan tekanan osmosis dalam sel.
  • Membantu dalam penghantaran impuls saraf.

Tidak diperlukan.
Magnesium
  • Terlibat dalam sintesis protein.
  • Bertindak sebagai pengaktif (kofaktor) bagi sesetengah enzim.

  • Diperlukan dalam sintesis klorofil.
  • Mengaktifkan enzim dalam sel.

Kalsium
  • Diperlukan dalam pembentukan tulang dan gigi.
  • Membantu pengecutan sel otot.
  • Membantu pembekuan darah.

  • Diperlukan dalam pembentukan dinding sel berselulosa.
  • Mengekalkan sifat separa telap membran plasma.

Fosforus
  • Membantu pembentukan tulang dan gigi.
  • Membantu pengecutan sel otot.
  • Diperlukan dalam pembentukan adenosina trifosfat (ATP)
  • Komponen penting asid nukleik (DNA dan RNA)

  • Merangsang pembentukan biji benih dan bunga.
  • Mempercepat pembahagian sel.
  • Diperlukan dalam pembentukan ATP.
  • Diperlukan dalam sintesis asid nukleik.

Kalium
  • Diperlukan dalam pengecutan otot.
  • Diperlukan untuk penghantaran impuls saraf.

  • Mensintesis karbohidrat dan buah.
  • Mengaktifkan enzim.

Klorin
Diperlukan untuk sintesis asid hidroklorik yang menetapkan pH dalam perut dan memusnakan patogen yang memasuki perut.
Fotolisis air yang melibatkan pembebasan oksigen semasa proses fotosintesis.
Ferum
  • Terlibat dam sintesis hemoglobin dalam sel darah merah untuk mengangkut oksigen.
  • Diperlukan dalam pembentukan enzim respirasi.

  • Diperlukan dalam sintesis klorofil.
  • Bertindak sebagai pembawa elektron dalam mekanisme fotosintesis dan respirasi.


Kebanyakan unsur dalam sel wujud sebagai ion. Misalnya, ion natrium, ion magnesium, ion klorida, ion kalium dan ion kalsium.

Protein membentuk kira-kira 15% protoplasma dan merupakan komponen yang penting bagi struktur sel.

Lipid membentuk sehingga kira-kira 15% protoplasma dan tidak larut dalam air.

Karbohidrat dihasilkan semasa fotosintesis (photosynthesis) dan wujud dalam beberapa bentuk.

Kebanyakan organisma menggunakan empat jenis unit binaan asas atau molekul iaitu, karbohidrat, protein, lipid dan asid nkleik untuk membentuk semua struktur biologi.

2 comments: