Thursday, January 19, 2012

Jantung

Jantung (heart) merupakan satu pam berotot.

Dinding jantung terdiri daripada otot kardium (cardiac muscles) yang mengecut secara automatik tanpa kawalan saraf. Pengecutan otot ini disifatkan sebagai miogenik (myogenic).

Tisu jantung mendapat oksigen dan nutrien dari arteri koronari (coronary artery) dan karbon dioksida diangkut keluar oleh vena koronari (coronary vein).

Struktur luaran jantung manusia.

Jantung manusia terdiri dari dua ruang atas (atrium kiri dan atrium kanan) dan dua ruang bawah (ventrikel kiri dan ventrikel kanan).

Struktur dalaman jantung manusia.

Bahagian kiri dan kanan jantung dipisahkan oleh dinding jantung yang dinamakan septum. Ini mengelakkan percampuran darah beroksigen disebelah kiri dengan darah terdeoksigen disebelah kanan jantung.

Ruang atrium adalah lebih kecil daripada ruang ventrikel.

Dinding atrium adalah lebih nipis daripada dinding ventrikel. Ini kerana atrium hanya mengepam darah ke dalam ventrikel dibawahnya, manakala ventrikel pula terpaksa mengepam darah ke organ badan yang lain dengan tekanan yang lebih tinggi.

Dinding ventrikel kiri pula lebih tebal dan berotot berbanding dengan dinding ventrikel kanan kerana ventrikel kiri perlu mengepam darah ke seluruh badan, manakala ventrikel kanan hanya mengepam darah ke peparu sahaja (lungs).

Terdapat injap (valve) dalam jantung untuk mengelakkan aliran balik (backflow) darah dan memastikan darah mengalir dalam satu hala sahaja.

Injap trikuspid (tricuspid valve) terletak diantara atrium kanan dan ventrikel kanan.

Injap bikuspid (bicuspid valve) pula terletak diantara atrium kiri dan ventrikel kiri.

Kedua-dua injap ini memastikan tiada aliran balik darah dari ventrikel ke atrium.

Pada pangkal arteri pulmonari dan aorta, terdapat injap sabit (semi-lunar valves) yang mengelakkan aliran balik darah ke dalam ventrikel kiri dan kanan.

Pada dinding atrium kanan berdekatan dengan bukaan vena kava, terdapat tisu gentian kardium yang dinamakan nodus sinoatrium (sinoatrial node). Nodus ini juga disebut sebagai perentak jantung (pacemaker).

Diantara atrium kanan dan ventrikel kanan, terdapat gentian sel kardium yang dipanggil nodus atrioventrikel (atrioventricular node).

Pada dinding dalam ventrikel, terdapat gentian yang khusus untuk menghantar impuls saraf dan dikenali sebagai gentian Purkinje (Purkinje fibers).

Nodus sinoatrium menjana impuls saraf yang menyebabkan otot kardium mengecut secara spontan untuk memulakan denyutan jantung. Impuls saraf yang terhasil juga merangsang pengecutan atrium yang seterusnya merebak ke nodus atrioventrikel, lalu ke gentian Purkinje, yang menghantar impuls saraf ke otot kardium di ventrikel untuk memulakan pengecutan ventrikel.

Gentian Purkinje bekerjasama denga nodus sinoatrium dan nodus atrioventrikel untuk mengawal kadar denyutan jantung.

4 comments:

  1. Assalamualaikum,cikgu... jika perentak pesakit jantung tidak berfungsi, perentak tiruan akan digunakn...sye nk tnye mcm mne perentak tiruan tu berfungsi??

    ReplyDelete
    Replies
    1. W'lam.

      Info lanjut berkenaan pacemaker @ perentak jantung, sila rujuk http://www.nhlbi.nih.gov/health/health-topics/topics/pace/

      Tq.

      Delete